
Beliau juga memberi jaminan hak-hak Sarawak akan terus dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Alhamdulillah, lawatan kerja dua hari saya ke Sarawak berakhir dengan menghadiri program bersama kerajaan negeri, penjawat awam, beramah mesra dengan masyarakat setempat, lawatan ke medan niaga serta program Ziarah Prihatin.
Dalam setiap ucapan, saya tekankan komitmen kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menilai dengan adil semua tuntutan Sarawak, terutama yang melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata beliau di Facebook hari ini.
Berkongsi mengenai lawatannya ke Sarawak, Muhyiddin berkata, beliau sempat menikmati sarapan pagi di Restoran Mi Kolok Hj Salleh, restoran yang pernah disebutnya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) April lalu.
Selain itu, beliau juga berkesempatan melawat Medan Niaga Satok bagi program Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
“Rata-rata peniaga yang saya temui menghargai pelbagai pakej bantuan yang disediakan kerajaan kerana banyak membantu mereka meneruskan kehidupan dan perniagaan dalam situasi wabak Covid-19.
“Di akhir lawatan, saya berkunjung ke Blok Pusat Rawatan Harian, Hospital Umum Sarawak yang mampu merawat seramai 100 orang pesakit sehari,” kata beliau.