
Peguam Suraj Singh, yang mewakili ahli perniagaan Tan Wai Khan, memaklumkan Majistret Nurshahira Abdul Salim bahawa pihak pembelaan telah menerima maklumat mengenai penarikan balik laporan tersebut oleh pemilik restoran, Kwan Pei Chong.
“Susulan perkembangan baharu ini, pihak pembelaan ingin meminta pihak pendakwaan menyerahkan dokumen-dokumen yang relevan agar kami dapat menelitinya,” kata beliau.
Sebelum ini, pertengkaran dilaporkan tercetus di sebuah restoran stimbot pada Januari selepas seorang pemuda dipercayai meminta Tan dan rakan-rakannya merendahkan suara mereka.
Dua lelaki dalam kumpulan itu kemudian menampar pemuda terbabit sebelum seorang daripada mereka memukul teman wanita mangsa ketika mereka keluar dari restoran.
Serangan itu didakwa berlaku pada malam sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa tahun ini, dan mencetuskan kemarahan masyarakat awam apabila video kejadian itu tular.
Sebelum ini, Tan mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan memecahkan pinggan mangkuk milik Restaurant Steamboat TST di Tropicana Damansara pada 12 Jan.
Pada 21 Jan, dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menyerang Wong Chung Yi dan Lee Dek Kuan di restoran tersebut.
Tan, dan rakannya, Ang Mow Loong, juga mengaku bersalah atas satu lagi tuduhan bersama-sama menyerang Kwan, serta menyebabkan kegusaran awam di restoran itu.
Mahkamah dijadualkan menjatuhkan hukuman terhadap Tan dan Ang hari ini tetapi, tidak diteruskan ekoran perkembangan terbaru itu.
Timbalan Pendakwa Raya Athifah Hazimah Wahab memaklumkan mahkamah majistret hari ini beliau akan meminta arahan lanjut berkenaan tuduhan perbuatan khianat terhadap Tan itu.
Nurshahira menetapkan 11 Mei bagi tarikh sebutan seterusnya.
Dalam video yang diterbitkan pada 18 Jan, Tan meminta maaf kepada pasangan tersebut dan orang ramai atas tingkah lakunya.