Malaysia, China iktiraf sijil vaksinasi

Malaysia, China iktiraf sijil vaksinasi

Kedua-dua negara bakal bentuk panel bersama untuk mengamati isu-isu berkenaan perdagangan, pelaburan dan kesiapsiagaan menghadapi wabak.

Ini akan membantu memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara dalam masa terdekat.
PETALING JAYA:
Malaysia dan China secara prinsip sepakat untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein hari ini.

Ini akan membantu memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara dalam masa terdekat, lapor Bloomberg.

Sebuah jawatankuasa bersama yang dipengerusikan oleh menteri luar kedua-dua negara juga akan dibentuk bagi kerjasama pasca- Covid-19, mengawasi isu-isu berkenaan perdagangan, pelaburan, projek Belt and Road, dan kesiapsiagaan menghadapi wabak.

Tugas pertama jawatankuasa ini adalah meletakkan asas bagi lawatan timbal balik oleh pemimpin kedua-dua negara. Malaysia dan China juga sepakat untuk menyelesaikan rundingan bagi mewujudkan “laluan hijau” timbal balik antara kedua-dua negara.

Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan vaksin China generasi kedua dan ketiga.

Hishammuddin sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke China.

Awal hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan masih meneliti pelonggaran syarat kuarantin bagi warga asing yang telah menerima dos penuh vaksin.

Putrajaya sebelum ini digesa untuk membuat persiapan bagi mewujudkan pasport vaksin buat mereka yang telah diimunisasi terhadap Covid-19.

Pada masa ini, semua pelancong yang memasuki Malaysia harus menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Baru-baru ini, Korea Selatan mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan pasport vaksin buat rakyatnya yang telah diimunisasi supaya perjalanan merentas sempadan boleh dibenarkan semula, sambil tetap berwaspada terhadap risiko jangkitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.