
Presiden Persatuan IKS Malaysia, Michael Kang berkata, jajaran utara, yang meliputi kawasan seperti Bentong dan Gombak, terdorong dengan permintaan.
Beliau berkata prasarana bandar di jajaran utara akan ditingkatkan memandangkan ia mempunyai populasi yang lebih padat, yang bermaksud lebih banyak lalu lintas.
“Di Bentong, lebuh raya Karak sering sesak dan hampir penuh. ECRL boleh menjadikan pengangkutan untuk penumpang lebih cekap,” katanya kepada FMT.

Kang berkata bandar-bandar di jajaran selatan masih jauh lagi dari segi pembangunan, yang bermaksud mereka akan mendapat keuntungan yang sedikit dari projek landasan kereta api itu.
Katanya, lebih banyak jalan boleh dibina di kawasan terbabit dan lebih mudah untuk menghubungkan jajaran utara dengan bandar itu pada masa akan datang.
Walaupun kos jajaran utara akan lebih tinggi, katanya, membangunkan bandar seperti Bentong dan Gombak akan menghasilkan wilayah ekonomi yang berkembang pesat selain menarik pelaburan.
Jajaran utara ECRL dianggarkan bernilai RM60 bilion manakala jajaran selatan pula mencecah RM40 bilion.
“Penduduk di daerah (Bentong dan Gombak) meningkat dengan pesat, dan jika anda menunggu 10 tahun lagi untuk membina rangkaian kereta api (menghubungkan mereka), kosnya boleh menambah sebanyak RM40 hingga RM50 bilion,” katanya.
Bekas timbalan menteri pengangkutan, Aziz Kaprawi berkata jajaran utara akan menjadi pilihan pengangkutan yang lebih baik untuk penumpang kerana ia akan bersambung dengan stesen kereta api lain.
Katanya, jajaran selatan tidak mengambil kira kajian mendalam yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Aziz menjelaskan kos tambahan RM20 bilion untuk jajaran utara, dengan berkata aktiviti ekonomi yang dihasilkan di bandar berkenaan akan memberi kewajaran kepada perbelanjaan. Kata beliau, kerajaan tidak boleh mengurangkan kos “semata-mata mahu buat saja”.
“Dari sudut ekonomi, apabila kita bangunkan prasarana, kita mahukan keuntungan segera, kita mahu semua komuniti seperti sektor perniagaan segera menikmati faedah itu.
“Saya tidak faham kewajaran kerajaan Selangor untuk menolak jajaran utara. Saya tidak nampak apa-apa alasan, apa yang penting adalah kepentingan negara,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan Selangor kekal dengan pendirian dalam memilih jajaran selatan (Hulu Langat-Sepang-Westport) untuk projek ECRL di negeri itu.
Katanya, jajaran selatan akan membuka lebih banyak kawasan ekonomi, selain daripada mengelakkan gangguan ke kawasan tadahan air di sekitar Lembangan Sungai Selangor dan isu pengambilan tanah, serta penempatan semula penduduk di kawasan yang terlibat dalam cadangan jajaran utara.
Ketua MCA Pahang Hoh Khai Mun berkata kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mengabaikan banyak laporan oleh penganalisis bebas bahawa laluan utara akan dapat merangsang hasil ekonomi yang lebih baik.
Katanya juga, objektif ECRL adalah untuk menghubungkan orang dan laluan perdagangan antara pantai timur dan semenanjung barat.
“Sebarang keputusan mengenai penyelarasan mesti bebas dari pertimbangan politik, dan semua pilihan dan penyelesaian mesti berdasarkan dapatan profesional dan bebas,” katanya.
Terdahulu, pentadbiran PH membuat jajaran semula laluan ke arah selatan, dengan memendekkannya sejauh 40km dan mengakibatkan pengurangan kos sebanyak RM20 bilion.