
Ketua Balai Bomba Cyberjaya, Mohd Shafizol Mohamad Nor berkata, mayat seorang lelaki dipercayai berusia 30-an itu ditemui lengkap berpakaian singlet berwarna hitam dengan tulisan “Chicago 23” serta seluar yang juga berwarna hitam.
Beliau berkata, mayat mangsa yang bertubuh kurus itu ditemui dalam keadaan elok, namun identitinya belum diketahui.
Katanya, mayat mangsa ditemui berdekatan dengan lokasi yang ditunjukkan anjing pengesan JBPM pagi tadi.

“Mangsa ditemui di dasar tasik pada kedalaman anggaran 6.5 meter kira-kira 20 meter dari tebing.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis selepas dibawa naik ke darat untuk tindakan selanjutnya” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Tasik Cyberjaya, kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Ketua Zon 5, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Abu Bakar Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam tengah hari semalam.
Berikutan itu sepasukan anggota bomba dari Balai Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat.
Difahamkan kejadian disedari seorang pekerja pembersihan yang sedang berehat di kawasan berhampiran yang kemudiannya memaklumkan kepada rakan sekerjanya.
Saksi kejadian dilaporkan berkata, mangsa terkapai-kapai kira-kira 10 minit sebelum hilang daripada pandangan ketika pekerja pembersihan di situ membawa keluar sampan untuk membantunya.