Perbezaan pendapat bersifat individu, bukan wakili Umno Perlis, kata MB

Perbezaan pendapat bersifat individu, bukan wakili Umno Perlis, kata MB

Ahli parti bagaimanapun perlu menghormati apa yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Ketua Umno Bahagian Kangar, Azlan Man berkata perbezaan itu tidak mencerminkan pendirian keseluruhan Umno Perlis. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Menteri Besar Perlis, Azlan Man menyifatkan perbezaan pandangan yang wujud dalam kalangan pemimpin Umno di negeri itu berhubung kerjasama parti berkenaan dengan PPBM adalah pendirian individu.

Azlan yang juga ketua Umno Bahagian Kangar berkata perbezaan itu tidak mencerminkan pendirian keseluruhan Umno Perlis.

“Namun sebagai ahli parti perlulah menghormati apa yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sambutan hari RTM ke-75 di Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis.

Pada Ahad lalu, Perhimpunan Agung Umno 2020 meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Shahidan Kassim secara terbuka menyatakan pendirian akan terus bekerjasama dengan PAS dan PPBM, berbeza dengan Umno Kangar yang menyokong penuh keputusan pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan dilantik menggantikan Shahidan sebagai Pengerusi Umno Perlis, Azlan berkata: “Saya tidak tahu, ini bukan keputusan saya dan itu adalah pertimbangan pihak yang berkuasa dalam kepimpinan parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.