Norma baharu perayaan Cheng Beng: Pelitup muka, pembasmi kuman untuk roh nenek moyang

Norma baharu perayaan Cheng Beng: Pelitup muka, pembasmi kuman untuk roh nenek moyang

Pemilik kedai percaya kelengkapan itu pasti popular kerana ia memberi peluang roh nenek moyang ‘memerangi pandemik Covid-19′.

Sebuah kedai yang menjual kelengkapan upacara sembahyang, termasuk pelitup muka dan kaca mata lutsinar untuk kegunaan pada sambutan Cheng Beng. (Gambar AFP)
RAWANG:
Pelitup muka kertas dan kaca mata kertas antara kelengkapan yang akan dibakar oleh etnik Cina di Malaysia bagi menandakan bermulanya upacara sambutan Cheng Beng, dengan harapan roh nenek moyang mereka dapat menggunakannya untuk melawan Covid-19 dalam kehidupan selepas mati.

Cheng Beng atau Qingming merupakan tarikh paling penting bagi masyarakat Cina di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara.

Semasa sambutan itu, yang jatuh pada Ahad tahun ini, menjadi kebiasaan bagi orang Cina untuk bersembahyang, membersihkan kubur dan membakar barangan yang diperbuat daripada kertas untuk kegunaan dalam kehidupan selepas mati.

Barangan itu mungkin terdiri daripada wang dan kasut kertas hinggalah kapal layar dan kapal terbang, namun pandemik Covid-19 kini mencetuskan barangan bertemakan virus.

Sebuah kedai di sini menjual set pelitup muka kertas dengan kotak kecil yang berisi gambar kertas kaca mata, sebotol pembasmi kuman dan termometer.

“Kami mahu roh nenek moyang sedar akan kepentingan memakai pelitup muka semasa pandemik, jadi kami memperkenalkan (barang) ini,” kata pemilik kedai Jacky Hoi kepada AFP.

Beliau yakin set itu pasti popular kerana ia “memberi peluang nenek moyang memerangi pandemik Covid-19”.

Hoi bagaimanapun ketiadaan satu barangan penting, iaitu vaksin kertas, sesuatu yang dikatakannya terlupa sewaktu memesan kelengkapan itu dari China.

Aktiviti berkaitan sambutan Cheng Beng dibatalkan tahun lalu berikutan perintah sekatan akibat penularan virus.

Sejumlah peraturan dilaksanakan untuk mencegah jangkitan, termasuk bilangan orang yang dibenarkan untuk mengambil bahagian dan had waktu untuk upacara sembahyang.

Malaysia dilanda gelombang baharu Covid-19 sejak beberapa bulan lalu. Jumlah kes mula menurun, walaupun sekitar 1,000 kes jangkitan dikesan dan beberapa kematian dilaporkan setiap hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.