
Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Issam Saad berhubung syarat khusus penyelenggaraan dan SOP dalam lawatannya ke negara itu pada 9 April ini.
Beliau juga dijangka memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika lawatannya ke Saudi awal bulan lalu untuk memudahkan proses pra-pelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.
“Perbincangan itu nanti turut membabitkan sama ada kerajaan Arab Saudi membenarkan kuota tambahan 10,000 jemaah haji Malaysia pada tahun ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral di Masjid Mahmmoodiah Presint 18 petang tadi.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata, antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai nanti ialah wajib mendapat vaksin Covid-19.
Zulkifli berkata, lawatannya itu dapat mengerat dan mengukuhkan hubungan Putrajaya dengan Riyadh dalam pembangunan ummah serta kepentingan kedua-dua negara.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli bersyukur dan gembira dilantik ahli “The Assembly of Muslim Jurists of America” (AMJA) baru-baru ini.
Katanya, pelantikan itu menjadikan beliau satu-satunya wakil Asia dengan amanah besar untuk membawa nama Malaysia sebagai negara Islam contoh kepada dunia Barat, khususnya Amerika Syarikat.
“AMJA ini sebuah badan kajian ilmiah Fekah yang dianggotai ulama dunia mengenai kaedah melihat anak bulan (falaq) dan berkongsi pengalaman Malaysia bagi melihat anak bulan.”