Lelaki Indonesia disyaki edar dadah maut jatuh bangunan

Lelaki Indonesia disyaki edar dadah maut jatuh bangunan

Kejadian berlaku tengah hari semalam di Flat Batu Permai, Jinjang ketika polis membuat serbuan di rumah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, lelaki warga Indonesia itu ditemui terlentang di lantai bahagian belakang bangunan Flat Batu Permai, Jinjang dan dipercayai meninggal dunia kerana terjatuh dari tingkat tujuh.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh kediamannya ketika melarikan diri daripada polis di Jalan Ipoh semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, kejadian itu berlaku pada 12.58 tengah hari di Flat Batu Permai, Jinjang ketika polis membuat serbuan di rumahnya.

Beliau berkata, sebelum kejadian, polis yang melakukan serbuan mendapati pintu rumahnya berkunci dan ternampak seorang lelaki melarikan diri dari ruang tamu memasuki bilik tidur.

“Selang beberapa minit kemudian, seorang wanita warga Indonesia (isteri lelaki itu) keluar dari bilik berkenaan dan menyerahkan kunci pintu kepada pihak polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tiada di dalam bilik tidur dan tiga keping cermin tingkap bilik itu ditanggalkan.

“Polis juga tidak menjumpai sebarang dadah di dalam bilik tidur berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beh berkata, pemeriksaan lanjut di ruang tamu menemukan keratan plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis Metamfetamine dengan anggaran berat 0.27 gram.

“Polis meneruskan pencarian individu berkenaan serta mendapati dia berada di lantai bahagian belakang bangunan berkenaan dalam keadaan terlentang dan dipercayai meninggal dunia kerana terjatuh dari tingkat tujuh,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati lelaki itu merupakan warganegara Indonesia berusia lingkungan 36 tahun dan hasil pemeriksaan ke atas badannya menemui untuk alat menghisap dadah serta sepaket dadah di dalam poket seluar suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.