EAIC tidak siasat kes 34 pegawai penguat kuasa lindung ketua sindiket penipuan antarabangsa

EAIC tidak siasat kes 34 pegawai penguat kuasa lindung ketua sindiket penipuan antarabangsa

Bilangan pegawai penyiasat EAIC amat terhad, iaitu 78 orang dengan peruntukan RM8 juta setahun, kata Mohd Sidek.

Pengerusinya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Mohd Sidek Hassan (tengah) berbual dengan penerima Anugerah Khidmat Cemerlang badan itu di PICC Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak akan campur tangan dalam siasatan ke atas 34 pegawai dan anggota penguat kuasa yang disyaki melindungi dan membocorkan maklumat berhubung kes sindiket penipuan didalangi seorang “Datuk Seri” yang kini dalam siasatan polis.

Pengerusinya, Mohd Sidek Hassan, berkata EAIC tidak akan berbuat demikian kerana percaya polis mempunyai keutamaan untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan adil mengenai kes berkenaan.

Tambahan pula Mohd Sidek berkata, bilangan pegawai penyiasat EAIC amat terhad, iaitu 78 orang dengan peruntukan sebanyak RM8 juta setahun.

“Justeru apabila ada agensi berkaitan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS polis) yang mempunyai kuasa dan kakitangan sudah berbuat demikian, maka EAIC tidak perlu buat siasatan.

“Sebaliknya EAIC akan melakukan pemantauan. Umpamanya sebelum ini ada kes seorang tahanan wanita penghidap ‘spironolactone’ dilokap Miri dan kita memang mendapat aduan.

“Kalau tiada adaun sekali pun, di bawah Akta 700 EAIC diberi kuasa untuk mengambil tindakan dan menjalankan siasatan.

“Tetapi saya berpandangan tidak perlu kerana Pengarah JIPS, Zamri Yahya memberi jaminan bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

“Jadi kita akan pantau dan menulis surat kepada Peguam Negara supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit selepas kertas siasatan siap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada warga EAIC di PICC Putrajaya hari ini.

Mohd Sidek berkata demikian ketika ditanya sama EAIC akan membuka kertas siasatan berhubung pendedahan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang berkata, 34 anggota polis dan pegawai penguat kuasa kini disiasat kerana melindungi dan membongkar maklumat berhubung sindiket penipuan antarabangsa didalangi individu dikenali sebagai “Datuk Seri Nicky”.

Mengulas lanjut, Mohd Sidek berkata, EAIC hanya akan menyiasat kes besar dan berprofil tinggi kerana kebanyakan kes kecil boleh diselesaikan oleh jabatan atau agensi kerajaan berkaitan.

Beliau berkata langkah berkenaan perlu kerana banyak aduan diterima berkaitan kes kecil, termasuk kes orang awam dimaki oleh pegawai penguat kuasa atau polis.

Dalam pada itu, Sidek berkata, pihak tidak bercadang meminda Akta 700 bagi memberi lebih banyak kuasa kepada EAIC kerana peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai.

“Apa yang penting sekarang semua agensi penguatkuasaan kerajaan menguatkuasakan semua undang-undang sedia ada sebaik mungkin bagi meningkatkan tahap integriti dan sistem penyampaian.

“Kalau kita pinda mana-mana akta berkaitan pun tiada guna jika dari segi penguatkuasaannya lemah,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohd Sidek berkata, EAIC akan menjalankan kajian menyeluruh dan mendalam mengenai isu kematian dalam tahanan.

Beliau berkata, kajian berkenaan akan diterajui oleh timbalan pengerusi EAIC merangkap bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Zainun Ali.

“EAIC juga akan menggerakkan kolaborasi bersama organisasi berkepentingan dalam kalangan agensi perkhidmatan awam dan juga badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan suara dan kehendak setiap organisasi berkepentingan yang wajar akan diambil kira.

“Kita perlu mempunyai ‘zero tolerance’ terhadap tindakan yang menyalahi undang-undang, lebih-lebih lagi kerana kita yang menguatkuasakan undang-undang.

“Janganlah hanya kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.

Beliau berkata, banyak telah tercapai sejak satu dekad penubuhan EAIC, termasuk menerima sebanyak 5,237 aduan terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan

Berikutan itu, EAIC membuka 4,483 fail aduan dan sehingga kelmarin, termasuk 4,100 fail aduan dari jumlah keseluruhan aduan yang diterima berjaya diselesaikan dan ditutup sehingga 31 Mac 2021.

“EAIC juga membuka sebanyak 1,035 fail siasatan dan sehingga kini, sebanyak 837 kes telah diselesaikan.

“Untuk tahun 2021 sahaja, sehingga 31 Mac 2021, EAIC menerima 326 aduan dan membuka sebanyak 274 fail aduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.