
Walaupun Muhyiddin tidak mengesahkan perjalanan sedemikian akan dibenarkan, Presiden Persatuan Pelancongan Sabah (STA) Tonny Chew menyambut baik hasrat itu dengan berkata, industri pelancongan tidak dapat bertahan lebih lama lagi dengan sekatan perjalanan itu.
“Industri ini menderita dan berada dalam situasi yang terdesak. Banyak yang berdepan kemungkinan ditutup terus kerana mereka tidak lagi mempunyai aliran tunai untuk bertahan.
“Industri melihat pendapatan sifar selama lebih satu tahun,” katanya kepada FMT, selain menambah bahawa lebih banyak petugas barisan hadapan industri itu mungkin kehilangan pekerjaan jika sekatan rentas negeri dilanjutkan.
“Kami mendesak kerajaan membuka semula perjalanan antara negeri dengan SOP yang ketat dan menerapkan konsep gelembung perjalanan yang mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.”
Muhyiddin sebelum ini menyebut tentang kemungkinan membenarkan perjalanan rentas negeri, terutama bersempena Hari Raya tetapi berkata, ia perlu dikaji terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.
Beliau berkata, ia bergantung pada enam petunjuk yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu jumlah kes positif, jumlah pesakit discaj, kadar jangkitan, jumlah kematian, jumlah katil hospital di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan jumlah petugas barisan hadapan yang tersedia.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Sabah, James Ong berkata, sektor itu mengalami kerugian kerana kekurangan pelancong dari luar negeri.
Katanya, walaupun orang Sabah melancong di negeri itu dan tinggal di hotel bajet, namun kebanyakannya hanya pada hujung minggu.
“Kami memerlukan orang dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kelantan dan tempat lain.
“Inilah pelancong yang akan mengisi bilik penginapan kami pada hari bekerja,” katanya kepada FMT.
“Kerajaan membuka perjalanan antara daerah melibatkan zon yang dibenarkan, jadi ia lebih baik jika dibandingkan dengan sebelum ini, tetapi masih belum cukup baik.”
Ong berkata, sekitar 30% daripada operasi 192 ahli persatuan di negeri itu ditutup buat sementara waktu, sementara yang lain berusaha mengurusnya.
“Sesetengahnya, seperti saya, memastikan operasi kami kekal dibuka supaya orang boleh kekalkan pekerjaan mereka.
“Dengan cara tertentu, kami mempunyai tanggungjawab untuk kekal beroperasi dan melaksanakan peranan masing-masing bagi memastikan ekonomi terus berjalan.
“Tetapi ia sangat sukar bagi kebanyakan kami. Kami memerlukan semua pertolongan yang boleh diperolehi. Apa sahaja talian hayat yang boleh kami bergantung.
“Mereka yang memasuki perniagaan ini kira-kira dua tahun lalu menderita paling banyak, sementara mereka yang sudah lama masih boleh bertahan. Tetapi, ia tidak dapat bertahan lebih lama lagi,” katanya.
Seorang lagi pengendali hotel, Foo Ngee Kee menggesa dilakukan “pendekatan yang seimbang” untuk membantu industri itu.
“Walaupun kita faham akan perlunya sekatan pergerakan untuk melandaikan lengkung Covid-19 dan mengurangkan jangkitan, namun membuka perjalanan antara negeri atau antara zon akan membantu hotel, besar dan kecil, meraih pendapatan yang sangat diperlukan daripada tempahan bilik.
“Ini akan melengkapkan bantuan kewangan yang diberikan kerajaan kepada pengusaha hotel,” katanya.