9 kes Covid-19 varian Afrika Selatan ditemui

9 kes Covid-19 varian Afrika Selatan ditemui

Semua sembilan kes itu adalah jangkitan tempatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, analisis lanjut menunjukkan varian Afrika Selatan itu mungkin berpunca daripada pekerja di sebuah syarikat berpangkalan di KLIA. 
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti sembilan kes Covid-19 berkaitan varian sangat mudah berjangkit B.1.351 yang pertama kali dijumpai di Afrika Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes itu adalah jangkitan tempatan.

Berdasarkan analisis filogenetik, katanya, kes itu berkait rapat dengan kluster Jalan Lima dan Kebun Baru, kedua-duanya di Selangor.

Katanya, analisis lanjut menunjukkan varian itu mungkin berpunca daripada pekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Noor Hisham berkata, virus itu kemudiannya merebak dalam kalangan penduduk di daerah Kuala Langat.

Dikenal pasti pada Disember 2020, varian B.1.351 pertama kali dijumpai di UK dan Afrika Selatan, sebelum menular ke negara lain seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia dan Korea Selatan.

Beliau berkata, pejabat kesihatan daerah Kuala Langat dan Sepang, bersama Institut Penyelidikan Perubatan, akan terus memantau kehadiran varian Afrika Selatan dan mutasi lain melalui ujian “jujukan genom” daripada sampel klinikal.

Sehingga semalam, katanya, 117 jujukan genom SARS-CoV-2 diperolehi daripada pelbagai mutasi Covid-19.

“KKM akan terus berwaspada dan melaksanakan pelbagai langkah kesihatan awam untuk mencegah berlakunya limpahan varian baru ke Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.