Trend ini membimbangkan, menurut pakar kawalan tembakau, Dr Zarihah Mohd Zain, yang juga bekas pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang membantu menggubal peraturan merokok di negara ini.
“Saya rasa kurangnya penguatkuasaan terhadap larangan merokok di kawasan-kawasan bebas rokok adalah kerana semua perhatian ditumpukan kepada mengekang penularan Covid-19, dengan pihak berkuasa ditugaskan mengesan kontak, serta menggalas tanggungjawab lain yang berkaitan,” kata beliau kepada FMT.
Menurut peraturan yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2019, seseorang individu tidak boleh menghisap rokok kurang daripada 3m dari meja makan di restoran.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memaklumkan bahawa KKM menerima 12,447 aduan berkenaan kesalahan merokok di restoran di seluruh negara ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa tahun lalu.
Kata beliau, Selangor dan Kuala Lumpur mencatat jumlah aduan tertinggi, masing-masing dengan 4,329 dan 2,251 kes, sambil menyatakan kurangnya penguatkuasaan sebagai punca utama pelanggaran larangan tersebut.
Zarihah menggesa pihak berkuasa untuk terus menghebahkan larangan tersebut dan menguatkuasakannya.
Beliau berkata, perokok yang melanggar undang-undang mesti dihukum untuk menunjukkan komitmen kerajaan terhadap penguatkuasaan larangan itu.
“Tidak patut ada belas kasihan bagi perokok yang melanggar undang-undang ini,” kata beliau.
Beliau juga berkata, pemilik restoran bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap pelanggan yang merokok.
“Walaupun mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang, mereka pasti boleh menasihati pelanggan mereka.
“Apabila premis mereka diserbu dan pelanggan ditangkap melanggar larangan merokok, kedua-dua perokok dan pemilik premis mungkin dikenakan hukuman,” kata beliau.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, J Suresh berkata kepada FMT, perokok mungkin sudah lupa larangan itu kerana orang ramai tidak dibenarkan makan di dalam restoran dalam tempoh sekatan.
Pemilik restoran sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan SOP dipatuhi dengan mengingatkan pelanggan agar tidak merokok di dalam premis mereka.
“Kami menasihati mereka dan kebanyakannya mematuhi peraturan selepas itu,” kata beliau.