Penduduk Bukit Malut orang Melayu, bukan Rohingya, kata Dr M

Penduduk Bukit Malut orang Melayu, bukan Rohingya, kata Dr M

Menurut beliau, penduduk di situ terdiri daripada orang Melayu nomad yang berhijrah ke Thailand dan Myanmar sebelum kembali menetap di Langkawi.

Penduduk Bukit Malut sebenarnya orang Melayu nomad yang berhijrah ke Thailand dan Myanmar sebelum kembali menetap di Langkawi, jelas Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penduduk Bukit Malut, di mana sebuah litar lumba antarabangsa baharu bakal dibina, adalah sememangnya orang Melayu, bukan pendatang asing, kata Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Penduduk kawasan di selatan pulau itu bukan daripada etnik Rohingya seperti yang dilaporkan, namun mereka sebenarnya orang Melayu nomad yang berhijrah ke Thailand dan Myanmar sebelum kembali menetap di Langkawi.

Bekas perdana menteri itu berkata, isu penempatan pendatang asing tanpa izin di situ sering dimainkan tanpa kefahaman yang tepat mengenai asal usul penduduknya.

“Asalnya tidak ramai tapi setelah beranak pinak jadi bertambah. Bertambah bukanlah orang baru tetapi orang asal sini.

“Rata-rata orang di sini 80% darinya bekerja sebagai nelayan, mereka cari makan dari hasil laut. Mereka membekal ikan untuk Langkawi sehingga ke Kelantan.

“Mereka ini berdikari dengan mendapat hasil kegiatan ekonomi tanpa bergantung kepada kerajaan,” kata Mahathir, sambil menambah, mereka juga fasih berbahasa Melayu.

Kata beliau, penduduk Bukit Malut tidak menentang rancangan kerajaan untuk memindahkan mereka ke tempat lain supaya mereka mendapat bekalan air dan elektrik, serta jalan raya.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penduduk penempatan tersebut, yang digelar beliau “peneroka haram”, akan dipindahkan ke kawasan lain di Langkawi. Beliau merancang untuk membina trek dan resort perlumbaan bernilai jutaan ringgit di kawasan tersebut.

Sanusi mendakwa penduduk Bukit Malut tinggal di tanah kerajaan dan tanah bukit secara haram, dan Majlis Keselamatan Negara telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

Beberapa akhbar harian Melayu melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 10,000 orang, semua warga Myanmar, tinggal di hutan simpan bakau di sana, dan ini menimbulkan kemarahan penduduk tempatan.

Sejak itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berjanji akan memindahkan mereka ke tempat lain kerana bimbang tanah bakau yang berharga dicerobohi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.