
Katanya, kenyataan yang sedang tular di media sosial itu juga palsu.
“Saya difahamkan sekarang tular di media sosial serta aplikasi seperti telegram dan whatsapp satu kenyataan yang mengakui dikeluarkan oleh ‘Khaled Nordin, Naib Presiden Umno’.
“Kenyataan tidak bertarikh tersebut mengandungi antara lain, ulasan saya berkenaan dengan kerajaan yang diketuai PPBM, komitmen PAS dalam Muafakat Nasional, serta sikap PAS yang dilihat sudah tidak ikhlas memperjuang isu-isu selepas krisis di Perak.
“Selain itu, terdapat beberapa perkara lagi yang terkandung di dalam kenyataan tersebut,” kata Khaled memetik kenyataan yang tular itu.
Katanya, sebarang kenyataan rasmi dari beliau hanya disiarkan di halaman rasmi facebooknya.
“Saya sekali lagi menafikan kenyataan tersebut dan tidak bertanggungjawab di atas penyebarannya. Saya menggesa mana-mana pihak yang mereka-reka
kenyataan palsu tersebut dan menyebarkannya untuk berhenti serta merta.
“Saya juga memohon kerjasama semua pihak yang menerima kenyataan palsu tersebut untuk tidak terus memanjangkannya kepada kenalan dan pihak lain,” katanya.
Terdahulu PAS dan PPBM mengumumkan dua parti itu akan mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi PRU15 dan menolak sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu yang melibatkan Pakatan Harapan (PH).
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti itu turut bersetuju menubuhkan mekanisme peringkat pusat bagi memutuskan pengagihan kerusi untuk PRU.
Pendirian PAS dan PPBM itu susulan keputusan Umno menerusi persidangan mereka pada Ahad untuk tidak bekerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin dalam PRU15.