Kekal kerja dari rumah elak cetus kluster tempat kerja, gesa Cuepacs

Kekal kerja dari rumah elak cetus kluster tempat kerja, gesa Cuepacs

Cuepacs nasihat majikan sektor swasta supaya tidak terburu-buru memulakan operasi pada kapasiti penuh meskipun dibenar kerajaan.

PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Putrajaya untuk terus mengekalkan dasar bekerja dari rumah kepada sektor awam bagi mengelak tercetusnya kluster baharu tempat kerja.

Dengan angka jangkitan Covid-19 yang dilihat masih tinggi dalam negara dengan empat angka, presiden Cuepacs Adnan Mat berkata dasar itu perlu dikekalkan sehingga situasi pandemik bertambah baik atau sehingga imuniti berkelompok dicapai.

“Bekerja dari rumah mula menjadi norma dalam perkhidmatan awam dan amalan tersebut masih lagi membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat terus beroperasi seperti biasa.

“Amalan bekerja dari rumah tidak akan mengganggu sistem penyampaian perkhidmatan awam sekiranya ia disusun dengan sebaik mungkin.

“Cuepacs berpendapat amalan ini wajar diteruskan sehingga negara benar-benar bebas daripada penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bekerja dari rumah juga membolehkan produktiviti dapat dioptimumkan sebaik mungkin berbanding bekerja kapasiti penuh di pejabat, ia akan memastikan tahap prestasi kerja dikekalkan di samping menghalang berlakunya jangkitan.

Adnan turut menekankan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengedarkan pekeliling atau arahan kerana dasar itu tidak pernah dimansuhkan.

Beliau turut menasihati sektor swasta untuk tidak terburu- buru memulakan operasi pada kapasiti penuh sebaliknya menggesa pertimbangan daripada sudut kemampuan untuk mematuhi SOP.

“Sebelum ini segala SOP yang ditetapkan dilihat gagal dipatuhi sehingga mengakibatkan tercetusnya kluster ditempat kerja. Begitu juga di sektor awam, setiap ketua jabatan perlu menguruskan operasi dan sumber manusia dengan sebaiknya,” katanya.

Semalam Putrajaya mengumumkan bahawa dasar bekerja dari rumah untuk sektor awam dan industri di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ditarik balik mulai Khamis.

Ketika ini, jumlah petugas dibenarkan di kawasan PKPB iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan adalah 30 peratus terdiri daripada kakitangan pengurusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.