Denda RM12,000 dah dibayar, isteri bimbang nasib suami warga Nigeria masih ditahan

Denda RM12,000 dah dibayar, isteri bimbang nasib suami warga Nigeria masih ditahan

Lebih 2 minggu Low Kar Hui menanti kepulangan suaminya yang ditahan di Jabatan Imigresen.

Simon Adavize Momoh (kanan) bersama isterinya, Low Kar Hui, dan anak-anak mereka.
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan dua anak perempuannya di Puncak Jalil tidak dapat tidur lena apabila memikirkan nasib suami dan ayah mereka yang terpaksa bermalam di lokap selama 16 hari berturut-turut sementara menunggu Jabatan Imigresen mengesahkan dokumennya.

Warga Nigeria, Simon Adavize Momoh, 33, yang berkahwin dengan seorang juruaudit dari Malaysia, ditangkap pada awal pagi 15 Mac lalu selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk ketika ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Cheras.

Selepas dibawa ke ibu pejabat polis trafik Jalan Tun HS Lee, dia kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi yang sama.

Didakwa bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, dia mengaku bersalah dan isterinya, Low Kar Hui, membayar denda sebanyak RM12,000.

Low berkata, seorang pegawai polis memaklumkan bahawa Momoh akan dibebaskan pada 5 petang hari yang sama selepas menjalani hukuman penjara sehari kerana mengaku bersalah.

Bagaimanapun, setelah 16 hari berlalu, Low masih menunggu kepulangan suaminya.

“Saya terputus hubungan dengan suami selama dua minggu,” kata Low kepada FMT.

“Selepas saya bayar denda itu, saya balik ke rumah sebab dia beritahu saya, jangan bimbang, dia akan telefon saya pada sebelah petang untuk datang jemput dia. Tapi, saya tak dengar apa-apa khabar daripada dia.

“Ketika saya membayar denda di mahkamah, ada seorang pegawai polis lain beritahu, Momoh akan dihantar ke penjara Kajang. Esoknya, saya telefon penjara Kajang dan mereka mengesahkan dia ada di sana.

“Kata mereka, dia sudah menjalani hukumannya (satu hari) tetapi mereka belum boleh bebaskan dia sementara menunggu Jabatan Imigresen mengesahkan dokumennya.

“Dia ada dokumen yang sah dan saya sudah membayar denda, jadi saya tak faham kenapa dia masih ditahan.”

Pada 2009, Momoh berpindah ke Malaysia untuk menamatkan pengajiannya dan sedang menggunakan visa pasangan jangka panjang yang sah sehingga 14 Okt 2022.

Hasil perkahwinan lapan tahun, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Divine, 8, dan Elisha, 5. Momoh tidak dapat bekerja kerana visa dimilikinya tidak membenarkannya.

Kata Low, pegawai penjara memberitahunya, Momoh perlu menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum dia boleh dipindahkan ke bawah jagaan Jabatan Imigresen, di mana mereka akan memutuskan sama ada Momoh berpotensi dihantar pulang ke negara asal.

Wanita berusia 33 tahun itu berkata, beliau sudah cuba menghubungi pihak berkuasa imigresen tetapi tidak dapat menghubungi bahagian yang berkenaan, dan beliau juga tidak dapat melawat suaminya di penjara.

Peguam Low, V Vemal Arasan, mempersoalkan keperluan menahan Momoh, dengan berkata, Jabatan Penjara memaklumkan bahawa terdapat ramai warga asing ditahan yang masih menunggu untuk menjalani ujian calitan Covid-19 sejak Disember tahun lalu.

Kata beliau, sekalipun Jabatan Imigresen berhak menghantar pulang warga asing yang didapati bersalah atas kesalahan tertentu, beliau ragu-ragu sama ada ia termasuk tuduhan memandu dalam keadaan mabuk, memandangkan ia tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda kerajaan.

Beliau berkata, walaupun Seksyen 35 Akta Imigresen membenarkan warga asing ditahan selama 30 hari sementara menunggu perintah berkenaan pengusiran, Low tidak dimaklumkan mengenai garis masa sedemikian.

“Itu (dikira) merampas kebebasan seseorang tanpa jangka masa yang ditetapkan. Sesiapa saja yang dijatuhkan hukuman penjara, walaupun untuk jenayah paling keji, tahu bila mereka akan dibebaskan.

“Menahan dia (tanpa tarikh akhir) bercanggah dengan perlembagaan.”

Biarpun sukar, Low berkata, beliau jujur dengan anak-anaknya mengenai di mana ayah mereka berada.

“Saya beritahu mereka kebenarannya,” kata beliau ketika ditanya bagaimana beliau menjelaskan ketiadaan Momoh kepada anak-anak.

“Mereka sangat rindu (ayah mereka) dan menangis setiap malam. Mereka agak trauma dengan ini dan perangai mereka berubah.

“Setiap kali saya cuba menceriakan mereka, mereka kata, lebih bagus kalau ayah ada bersama,” kata Low.

FMT telah menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.