Buang bayi akibat terlanjur, pasangan remaja ditahan polis

Buang bayi akibat terlanjur, pasangan remaja ditahan polis

Bayi itu dikatakan dibuang kira-kira jam 3 pagi selepas dilahirkan remaja perempuan berusia 18 tahun di rumah teman lelakinya di Taman Telok Mas.

Bayi itu masih hidup ketika dilahirkan sebelum dibuang ke kawasan semak.
PETALING JAYA:
Gara-gara terlanjur hingga mengandung anak luar nikah, sepasang kekasih sanggup membuang bayi lelaki yang baharu dilahirkan di kawasan semak berdekatan sebuah kilang di Telok Mas, Melaka, kelmarin.

Pasangan terbabit bagaimanapun berjaya ditahan polis.

Memetik laporan BH Online, bayi itu dikatakan dibuang kira-kira jam 3 pagi selepas dilahirkan wanita berusia 18 tahun berkenaan di rumah teman lelakinya di Taman Telok Mas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Mohd Sukri Kaman berkata, bayi itu masih hidup ketika dilahirkan dan disambut suspek lelaki terbabit yang juga berusia 18 tahun.

Katanya, pasangan itu dipercayai melakukan hubungan seks sejak tahun lalu sebelum suspek wanita melahirkan bayi itu kira-kira jam 12 tengah malam.

“Suspek lelaki kemudian memasukkan bayi terbabit ke dalam kotak plastik dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum dibuang ke kawasan semak.

“Pihak hospital yang merawat suspek wanita kerana pendarahan kemudian membuat laporan polis memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bayi yang sudah mati itu kemudian diambil semula oleh suspek lelaki dan menyerahkannya kepada pihak hospital.

Katanya, suspek lelaki kemudian ditahan di pekarangan hospital semalam, manakala teman wanitanya ditahan hari ini selepas menerima rawatan.

“Proses bedah siasat ke atas mayat bayi itu akan dilakukan kira-kira jam 9 pagi esok bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Mohd Sukri berkata, kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.