
Beliau mengulas laporan memetik Ketua Puteri Umno Sungai Siput Norazura Abdul Karim yang berkata, sudah sampai masanya MIC beri laluan kepada Umno untuk bertanding di Parlimen Sungai Siput, susulan kegagalan parti India itu merampas kerusi itu selepas tiga pilihan raya umum.
Sivarraajh mengingatkan kepimpinan tertinggi Umno jangan menyombong dengan MIC dan MCA yang setia bersama Umno sejak penubuhan BN dan tidak lari apabila parti itu susah.
“Bukan main lagi puji rakan-rakan komponen di Persidangan Agung Umno atas kesetiaan dan sebagainya tapi tak sampai dua hari kemudian, kamu hendak ‘tikam’ rakan komponen sebegini?” kata beliau dalam kenyataan.
Sivarraajh berkata, Umno tidak patut mengetepikan mereka apabila keadaan tidak menepati kemahuannya.
“Pada asalnya, kamu yang mahu berkerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional dan PPBM melalui Perikatan Nasional. Kemudian apabila kerjasama itu tidak menepati kemahuan kamu, kamu bergaduh pula dengan mereka tanpa berbincang dengan kami.
“Bila perbincangan kerusi dengan mereka tidak menepati kemahuan kamu, kini kamu mahu ambil kerusi-kerusi tradisi rakan komponen pula,” kata beliau.
Sivarraajh menepis kalau ada dakwaan yang mengatakan mereka tidak bertolak-ansur dengan Umno, sambil mengingatkan bahawa MIC “meminjamkan” kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada Umno untuk menyelamatkan kerajaan BN di Pahang.
“Umno harus menghargai pengorbanan kami, walaupun semasa pembentukan Jemaah Menteri bawah PN tahun lalu, presiden Umno tidak membawa nama MIC untuk timbalan menteri dan senator, dan hanya mencadangkan pemimpin Umno untuk dilantik sebagai ahli Jemaah Menteri dan senator,” kata beliau.
Sivarraajh menggesa Umno supaya tidak menganggap semua perkara perlu dan akan berlaku berdasarkan kemahuan parti itu semata-mata.
“Jika Umno merasakan Umno terlalu kuat dan tidak memerlukan sokongan rakan-rakan komponen, baik Umno bertanding PRU15 (pilihan raya umum ke-15) nanti pakai lambang Umno sahaja. Tak perlu lagi bertanding sebagai BN,” kata beliau.