
Bercakap pada ‘Forum Demokrasi Malaysia’, bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad dan ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata undang-undang baharu itu boleh memerangi kekecewaan rakyat yang semakin meningkat terhadap ahli politik.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pilihan raya semula adalah jalan terbaik untuk memilih semula wakil yang mahu meninggalkan parti mereka, kerana sistem itu akan membolehkan mereka bertanding pada pilihan raya kecil di bawah parti baharu yang mereka sertai dengan agenda berbeza.
“Mereka patut meletak jawatan dan boleh bertanding semula di bawah tiket parti baharu. Jika mereka menang dengan tiket baharu itu, maka jelas mereka mempunyai moral dan hak untuk berkata bahawa mereka dipilih dan mewakili pengundi di kawasan mereka.”
Tambahnya, untuk menghentikan lompat parti, rakyat juga mesti menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan tindakan itu pada peti undi dan jelas lompat parti akan mengakibatkan ahli politik hilang kerusi mereka serta mengelak parti politik bekerjasama dengan mereka yang belot.
Shahril berkata, lompat parti cukup ‘berleluasa’ sejeka beberapa tahun kebelakangan sambil menambah ia berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya sikap pilih kasih dan pergolakan dalam parti.
“(Isu lompat parti) tidak pernah menjadi begitu dahsyat seperti mana beberapa tahun kebelakangan ini. Ia memang berlaku pun, jangan kita jadi terlalu naif mengenainya, tetapi kali ini kesannya dilihat agak jelas dan nyata”.
Februari lalu, tindakan lompat parti telah mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan runtuh.
Khalid berkata, pada pilihan raya umum akan datang, perlu ada kempen menentang individu lompat parti, pengkhianat dan mereka yang menyokong tindakan seumpamanya, dan berkata parti perlu mengemukakan calon yang benar-benar komited terhadap dasar parti dan berpegang kepada janji-janji mereka.