Menteri ke Arab Saudi untuk perincian SOP haji

Menteri ke Arab Saudi untuk perincian SOP haji

Kerajaan dijangka membuat ketetapan berhubung penghantaran jemaah haji negara ke tanah suci selepas perincian SOP tersebut diselesaikan.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan ke Arab Saudi dalam tempoh terdekat.
ALOR SETAR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan ke Arab Saudi dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan perincian berhubung prosedur operasi standard (SOP) ibadah haji musim ini.

Katanya kerajaan dijangka membuat ketetapan berhubung penghantaran jemaah haji negara ke tanah suci selepas perincian SOP tersebut diselesaikan.

“Kita nak tengok (apa lagi) SOP (Arab Saudi),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah, di sini hari ini.

Tahun lepas, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pelbagai syarat ketat untuk menunaikan haji, termasuk bilangan jemaah tidak melebihi 10,000 orang, selain semua jemaah perlu disaring sebelum tiba di Makkah dan Madinah.

Pada tahun ini pula, Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai nanti ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Mengulas pengambilan vaksin Covid-19 oleh bakal jemaah, Zulkifli berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan bagi tujuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.