
Hakim Mariana Yahya berkata, Yew Wei Liang sepatutnya membangkitkan isu penahanannya itu ketika perbicaraan tuduhan jenayah terhadapnya.
Menurutnya, Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya, mempunyai budi bicara meluas mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding berkaitan sesuatu kesalahan.
“Susulan itu, beliau mempunyai kuasa untuk menentukan apakah tuduhan yang akan dikenakan terhadap seorang tertuduh,” kata Mariana yang akan memulakan tugasan di Mahkamah Rayuan pada Khamis ini.
Yew didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada 22 Ogos 2019 atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 12 hari sebelumnya.
Pengakuannya tidak direkodkan kerana kes bunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Seorang timbalan pendakwa raya hanya menyerahkan izin daripada Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi pada 9 Dis 2019.
Yew masih ditahan di Penjara Kajang sementara menunggu perbicaraan tuduhan bunuh itu.
Yew yang diwakili peguam bela Wee Choo Keong pada awal 2020 memfailkan permohonan semakan, antara lain untuk deklarasi bahawa penyerahan izin pemindahan kes itu dilakukan dengan niat jahat.
Dia turut memohon ganti rugi untuk ‘penahanan tidak sah’ selama 120 hari sementara menunggu kes itu dipindahkan mahkamah untuk perbicaraan.
Yew juga meminta deklarasi bahawa tuduhan terhadapnya terbatal akibat kesalahan prosedur.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah, Yew sepatutnya memohon jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, sebaliknya memfailkan permohonan semakan berkenaan.
Malah, katanya, tertuduh sepatutnya memfailkan writ habeas corpus sekiranya menganggap penahanannya tidak sah, bukannya semakan berkenaan.
Dalam kejadian berkenaan, dua pemandu bertengkar selepas kejar-mengejar di persimpangan Bandar Baru Bangi. Saksi kejadian membantu meleraikan pertengkaran itu dan dua pemandu berkenaan kembali ke kereta masing-masing.
Bagaimanapun, pemandu yang lebih muda kemudian mengeluarkan kayu besbol dari keretanya dan memukul bonet kenderaan pemandu kedua.
Kereta pemandu kedua berkenaan dilaporkan menganjak dan melanggar pemandu pertama seterusnya menyebabkan mangsa tersepit.
Mangsa maut ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Nilai.