Janji perkuat undang-undang syariah, Umno tidak peduli undi bukan Melayu?

Janji perkuat undang-undang syariah, Umno tidak peduli undi bukan Melayu?

Penganalisis berkata, presiden Umno itu dilihat hanya mementingkan undi Melayu di kawasan pilihan raya di Malaysia Barat.

Pemimpin dan jemputan hadir di PAU2020 pada Ahad.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik melihat janji Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuh undang-undang syariah sebagai petanda beliau tidak peduli partinya hilang sokongan bukan Melayu selagi ia mampu meningkatkan bahagian undi Melayu.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, orang bukan Islam pasti tersinggung dengan kenyataan Zahid di Perhimpunan Agung Umno (PAU2020), tetapi menyatakan Zahid mungkin tidak kisah tentang itu.

Pada PAU2020, Zahid berkata Umno akan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya undang-undang syariah lebih berpengaruh sekiranya parti itu menang dua pertiga kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

Kata Jeniri kepada FMT, beliau yakin Zahid cuba membuktikan Umno tidak kurang Islamik berbanding PAS.

Parti bukan Melayu telah menunjukkan rasa tidak senang terhadap kenyataan Zahid.

Upko Sabah menuntut autonomi sekiranya undang-undang syariah dikuatkuasa ke atas mereka, dan MIC, sekutu Umno dalam Barisan Nasional, berkata parti itu tidak akan mengikut telunjuk Umno secara membuta tuli.

Jeniri berkata, Umno sedar orang bukan Melayu dan bukan Islam tetap memilih Pakatan Harapan (PH) dan hanya bimbang akan undi orang Melayu di kawasan pilihan raya di Semenanjung.

“Bagaimanapun, agar Malaysia maju, naratif politik sebegitu sudah lapuk,” kata beliau, sambil menambah Umno perlu dilihat sebagai bersifat inklusif dan bersederhana.

Dengan Zahid bertindak agresif, kata beliau, tokoh terbaik untuk membentuk laluan bersederhana bagi Umno adalah timbalannya sekarang, Mohamad Hasan.

Jeniri membuat spekulasi bahawa Barisan Nasional akan berpeluang memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang sekiranya Mohamad menjadi calon perdana menteri.

“Rakyat biasa lebih suka Tok Mat (nama panggilan Mohamad) dalam situasi sekarang. Beliau dianggap bukan saja boleh dipercayai tetapi juga lebih bersederhana,” kata Jeniri.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kawasan pilihan raya majoriti Melayu akan menjadi medan utama dalam pilihan raya akan datang, menyebabkan Umno tidak dapat mengelak daripada menggunakan retorik bernada perkauman dan agama.

Tiga parti utama Melayu bersaing untuk mendapatkan undi di kawasan-kawasan tersebut, kata Oh.

Masing-masing mahu menonjolkan parti mereka dengan “warna perkauman atau agama”, tambah beliau.

“Memandangkan majoriti pengundi Melayu sangat konservatif dan cenderung ke arah keagamaan, Umno tidak ada pilihan selain mengikut trend, takut-takut ia tidak lagi menjadi parti pilihan orang Melayu,” kata beliau.

“Orang bukan Melayu, dalam apa jua keadaan, tidak mungkin memilih Umno, PAS atau PPBM.”

Dalam ucapan perasmiannya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU2020) pada Ahad, Zahid berkata, ada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang-undang syariah diperkukuh dalam sistem perundangan Malaysia.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini berkenaan hak orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah “Allah” dan juga kegagalan kerajaan Selangor memperoleh hak untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang sudah menjadi statut undang-undang persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.