Syed Faizal ganti Yasmin Mahmood sebagai pengerusi Pos Malaysia

Syed Faizal ganti Yasmin Mahmood sebagai pengerusi Pos Malaysia

Yasmin Mahmood meletak jawatan selepas dua tahun berikutan 'komitmen dalam usaha lain'.

Yasmin Mahmood akan digantikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Syed Faisal Albar.
KUALA LUMPUR:
Tokoh teknologi digital dan industri perusahaan terkemuka, Yasmin Mahmood akan meletak jawatan sebagai pengerusi Pos Malaysia Bhd berkuat kuasa 1 April selepas berkhidmat selama dua tahun.

Dalam kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan penghantaran pos itu berkata syarikat telah melantik salah seorang ahli Lembaga Pengarah semasanya, Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar, untuk menggantikan Yasmin.

Syed Faisal Albar kini merupakan pengarah urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd dan pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan Kumpulan Pos Malaysia dari 2008 hingga 2011.

Pos Malaysia berkata Yasmin telah menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan berikutan tanggungjawabnya yang semakin meningkat di Malaysia dan di rantau ini.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, peletakan jawatan beliau berikutan “komitmen dalam usaha lain”.

“Beliau telah menjadi anggota Pos Malaysia, telah menerajui Lembaga Pengarah dan pengurusan untuk menerapkan inisiatif digital, merasionalisasi tarif pos dan meletakkan syarikat di landasan yang tepat ke arah pelan pemulihan yang kukuh,” katanya.

Pos Malaysia turut mengumumkan pelantikan Jezilee Mohamad Ramli sebagai pengarah bukan eksekutif.

Katanya beliau pernah berkhidmat di Pos Malaysia sebagai ketua kumpulan perkhidmatan korporat dan kini merupakan ketua pegawai operasi perkhidmatan korporat DRB-Hicom Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.