Keputusan LDP sertai PN akan dipertimbangkan, kata Hajiji

Keputusan LDP sertai PN akan dipertimbangkan, kata Hajiji

PN terbuka dengan cadangan LDP menyertainya, kata Pengerusi Sabah, Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Keputusan Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) akan dipertimbangkan sebaiknya, kata Pengerusi PN Sabah, Hajiji Noor.

Beliau berkata apa yang paling penting sekarang adalah untuk PN serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatukan rakyat melalui parti yang menerima perjuangan gabungan berkenaan.

“Jadi kita terbuka dengan cadangan itu (LDP menyertai PN)…sudah tentu kita akan pertimbangkan apabila tiba masanya nanti,” kata kepada pemberita selepas merasmikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), mengulas kenyataan LDP semalam yang menyatakan majlis tertinggi parti meluluskan usul untuk menyertai PN.

Presiden LDP, Chin Su Phin, dilapor berkata parti itu membuat keputusan tersebut selepas melihat kesungguhan PN yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika berdepan cabaran Covid-19 ketika ini.

LDP, ditubuhkan pada 1989, sebelum ini merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak keluar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bekas presiden parti itu, Chong Kah Kiat, merupakan ketua menteri yang ke-13 dari 2001 hingga 2003.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.