
Peguam beliau, Abdul Shukor Ahmad berkata, kes kliennya ialah Yang di-Pertuan Agong tidak perlu bertindak mengikut nasihat Mahathir untuk memecat Apandi.
“Malah sekiranya Agong bertindak atas nasihat perdana menteri, ia hendaklah dilakukan secara objektif dan tidak dipengaruhi oleh pandangan peribadi Mahathir,” kata Shukor dalam hujahannya.
Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Latifah Mohd Taha dijalankan secara maya.
Shukor berkata, Mahathir melakukan tort misfeasans sewaktu memegang jawatan awam kerana beliau membuat keputusan memecat Apandi tanpa menimbangkan pandangan Agong.
Beliau berkata, semua dokumen yang diminta daripada kerajaan tidak dikelaskan bawah Akta Rahsia Rasmi.
Sewaktu membalas hujahan, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan berkata, permohonan Apandi terlalu kabur dan wujud “kemungkinan tinggi” dokumen yang tidak dikenal pasti yang diminta itu dikelaskan sebagai rahsia.
Shamsul berkata, jelas Apandi menjalankan “ekspedisi memancing untuk mendapatkan dokumen dalaman defendan yang beliau ternyata tidak mengetahui apa-apa mengenainya”.
“Mahkamah tidak seharusnya beri ‘lesen memancing’ kepada plaintif dengan membenarkan permohonan ini,” katanya.
Beliau berkata, permohonan itu gagal menunjukkan kaitan dan keperluan mendapatkan dokumen berkenaan.
“Permohonan ini membuang masa. Defendan dengan ini berpandangan bahawa pemerolehan, pemeriksaan, dan pengeluaran dokumen itu ditolak dengan kos,” katanya.
Dalam permohonan bertarikh 11 Dis, Apandi antara lain meminta mahkamah membenarkan beliau dengan bebas memeriksa dan diberikan salinan dokumen atau surat berkaitan pemecatan perhidmatannya.
Terdahulu pada 31 Okt, beliau memfailkan permohonan meminta perisytiharan bahawa penamatan perkhidmatannya pada 2018 oleh Mahathir adalah tidak sah.
Apandi memohon ganti rugi khas, punitif, dan am sebanyak RM2,233,599.36 untuk ditaksir oleh mahkamah.
Kerajaan menolak dakwaan Apandi bahawa Mahathir melakukan tort misfeasans sewaktu memegang jawatan awam berdasarkan tindakannya, termasuk membuat kenyataan “berat sebelah” terhadap Apandi, mencadangkan Apandi digantikan sebelum pemecatan sah dibuat oleh Agong, dan menggunakan “pihak ketiga” seperti peguam peribadi Mahathir untuk mendesak Apandi supaya meletakkan jawatan.
Apandi juga mendakwa Mahathir mempunyai pandangan berat sebelah terhadap dirinya dan membuat keputusan pemecatan itu tanpa mempedulikan kuasa Agong bawah Perlembagaan.
Apandi, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015. Kontraknya dijadualkan tamat pada 26 Julai 2018.
Beliau berkata, ketua setiausaha negara memaklumkan kepadanya melalui sepucuk surat sebelum pilihan raya umum ke-14 bahawa tempoh jawatannya disambung tiga tahun lagi.
Bagaimanapun, katanya, ketua setiausaha memberi surat bertarikh 5 Jun 2018 yang memaklumkan Agong bersetuju menamatkan perkhidmatannya, tetapi tidak mengemukakan apa-apa dokumen berhubung persetujuan tersebut.
Latifah akan menyampaikan keputusannya pada 25 Mei.