Aliran keluar dana asing RM1.5 bilion setakat tahun ini

Aliran keluar dana asing RM1.5 bilion setakat tahun ini

Aliran masuk dana asing bersih bagi bulan Mac yang berbaki tiga hari dagangan lagi mencatat RM185.5 juta.

KUALA LUMPUR: Aliran masuk dana asing bersih bagi bulan Mac yang berbaki tiga hari dagangan lagi mencatat RM185.5 juta manakala Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar dana asing bersih sebanyak RM1.5 bilion setakat tahun ini.

Ini berbanding aliran masuk bersih bernilai RM7.6 bilion pada suku pertama 2020 (Q1 2020), kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.

“Pada Q1 2020, pasaran terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) berbanding sekarang yang mana kerajaan telah melonggarkan sekatan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pada minggu lepas, pelabur asing telah menjual ekuiti tempatan bernilai RM239.8 juta bersih berbanding RM101.2 juta bersih yang dijual pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, para pelabur antarabangsa melepaskan pegangan ekuiti tempatan bernilai RM28.9 juta bersih pada Isnin lepas ketika pelabur meneliti impak penyusutan mata wang lira Turki atas alasan membabitkan sentimen risiko.

Berikutan itu, penjualan bersih asing di Bursa Malaysia meningkat kepada RM214.0 juta pada Selasa yang tidak dilihat sejak akhir Januari tahun ini selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, bertindak menggantikan ketua bank pusat negara berkenaan.

Mata wang lira tersebut juga menjunam sehingga 15.0%.

Selain itu, Adam berkata sebahagian besar daripada minat pada Selasa lepas turut dipengaruhi oleh tindakan Canselor Jerman, Angela Merkel, yang melaksanakan sekatan pergerakan lebih ketat dalam usaha mengurangkan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang didorong oleh mutasi virus itu yang mudah tersebar.

“Selain itu, AS, UK, dan Kanada pula menyertai tindakan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan terhadap China berhubung dakwaan berlakunya pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Uyghurs di Xinjiang.

Beijing sebaliknya bertindak balas dengan menyatakan ia akan mengenakan sekatan ke atas 10 individu dan empat entiti di EU, katanya.

Dalam pada itu, Rabu lepas menyaksikan kehadiran semula pelabur asing secara sederhana di Bursa Malaysia yang membabitkan dana bersih bernilai RM5.6 juta.

Malangnya, aliran masuk asing itu bersifat sementara apabila pelabur asing itu berubah sebagai penjual bersih pada Khamis yang membabitkan ekuiti tempatan bernilai RM48.4 juta.

Menurut Adam, pasaran minyak juga berdepan tekanan pada Khamis ketika kalangan pedagang terus mengikuti rapat usaha-usaha mengatasi insiden sebuah kapal kontena mega yang terkandas dan menyekat Terusan Suez – laluan utama perkapalan dunia yang menjejaskan rantaian bekalan bagi kapal kontena serta kapal tangki minyak.

Pada Jumaat lepas, pelabur asing ini kembali semula untuk kali kedua bagi minggu lepas apabila bertindak membeli ekuiti tempatan bernilai RM45.9 juta bersih dengan menjadikan pemulihan ekonomi global sebagai tumpuan utama mereka.

Perkembangan itu berlaku ketika data Jabatan Tenaga AS menunjukkan tuntutan manfaat pengangguran susut ke paras terendah dalam tempoh setahun dalam minggu sebelumnya, sekali gus menjadi petunjuk bahawa ekonomi negara maju itu kini di landasan tepat bagi mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Seiring dengan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi tersebut, kebanyakan kaunter perbankan di FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatat peningkatan pada Jumaat lepas dan mendorong bursa tempatan mencecah paras 1,601.4 mata pada akhir dagangan, kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.