
Kata beliau, garis panduan dan matlamat agensi kerajaan untuk menarik pelaburan perlu diperbaiki secara berterusan, sambil mengingatkan bahawa definisi “pelaburan strategik” sering ketinggalan zaman.
Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Bangi itu juga berkata, mungkin tidak ada garis panduan yang cukup jelas bagi pelaburan pembuatan utama dari pihak-pihak seperti China dalam sektor seperti keluli, kaca dan kertas.
“Apakah indeks prestasi utama (KPI) yang dijangka? Apakah impak yang diharapkan terhadap industri tempatan dan apakah standard persekitaran yang harus dipatuhi?
“Ada antara garis panduan ini tidak boleh ditetapkan oleh MITI (Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa) semata-mata, ia memerlukan kerjasama kementerian dan agensi lain,” kata beliau, sambil menambah, garis panduan dan matlamat pelaburan juga perlu dituruti setelah ditetapkan.
Langkah lain adalah menyatukan agensi promosi pelaburan (IPA) sedia ada dan menjadikannya lebih responsif, kata Ong, sambil memetik kenyataan Bank Dunia bahawa Malaysia memiliki terlalu banyak IPA.
Mengakui terdapat kesuntukan masa dan dan kelemahan kemahuan politik dalam mengatasi hal ini ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, beliau berkata, usaha penyatuan pelbagai IPA diperlukan bagi mengurangkan overhed Putrajaya dan mengurangkan kekeliruan bagi pelabur asing.
Beliau menyeru agar hanya satu IPA diwujudkan di peringkat persekutuan, dan satu lagi di peringkat negeri, sambil menyatakan sokongannya terhadap Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berdasarkan sejarah dan rekod prestasinya.
Akhir sekali, Ong berkata, rakyat perlu faham manfaat FDI kepada Malaysia, seperti bagaimana ia akan menguntungkan golongan B40 dan meningkatkan hasil kerajaan melalui peningkatan pembayaran cukai pendapatan.
“Jika manfaatnya jelas kepada rakyat biasa, sukar bagi pelbagai agensi kerajaan dan kementerian selain MITI untuk menolak insentif bagi aplikasi FDI berkualiti tinggi,” kata beliau.
Pada Januari, aliran masuk FDI ke Malaysia dilaporkan jatuh 68% tahun lalu, penurunan yang lebih besar berbanding negara jiran serantau seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam.