
“Saya secara peribadi akan akur dan patuh atas apa juga keputusan yang parti lakukan. Sebagai pemimpin, kita tak boleh mempunyai agenda peribadi. Keutamaan adalah agenda parti.
“Maka, apa juga keputusan parti, itu akan menjadi pendirian saya,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Umno 2020.
Terdahulu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata semua ahli Umno mesti melepaskan jawatan menteri atau timbalan dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan selepas presiden mengumumkan tiada kerjasama dengan PPBM.
Katanya, ucapan Zahid itu menjawab cadangan mesyuarat perwakilan Umno bahagian dan menegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi parti berhubung kerjasama dengan PPBM.
Zahid dalam ucapannya berkata Umno tidak akan mendukung Perikatan Nasional kerana tidak senang dengan gelagat politik PPBM, menuduh parti itu berniat untuk menghapuskan dan menggantikan Umno.
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin juga mengumumkan sedia melepaskan jawatan menteri sains, teknologi, dan inovasi jika diarah MKT.
“Jika MKT membuat keputusan mengarahkan ahli Umno untuk menarik diri (daripada Jemaah Menteri), saya, sebagai ahli Umno, adalah terikat kepada keputusan itu,” kata beliau.