
Beliau berkata, pegawai polis terbabit membuat laporan berhubung hantaran di Twitter wanita terbabit semalam kira-kira 1.35 tengah hari dengan menyatakan dakwaan tersebut tidak benar.
Fadzil berkata, pada 6 petang hari sama, pemilik akaun Twitter berumur 28 tahun itu membuat laporan polis dan mendakwa kira-kira 9 pagi 27 Mac, seorang pegawai polis membuat gangguan seksual terhadapnya dengan mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa melalui SJR di Putrajaya.
“Menurut wanita tersebut, apabila beliau memaklumkan dalam perjalanan untuk urusan perniagaan produk minuman susu, beliau disoal dengan ayat ‘You perah sendiri ke susu tu?’ yang menyebabkan rasa tidak selesa dan tidak puas hati sehingga beliau memuat naik hantaran di Twitter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzil berkata, siasatan awal polis berhubung dakwaan pegawainya yang menafikan mengeluarkan perkataan tidak sopan itu semasa menyoal wanita tersebut mendapati pegawai terbabit sebaliknya bertanyakan produk susu tersebut dengan ayat “You buat sendiri ke susu tu?”
“Petugas lain termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga telah disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita tersebut,” katanya.
Justeru, katanya, polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan kedua-dua pihak.
“Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan setelah mendapat perintah penyiasat daripada timbalan pendakwa raya, Jabatan Peguam Negara sebagaimana peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya.”
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan telus tanpa sebarang kompromi dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang kenyataan dan spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Muhamad Shamin Abul Qasim (pegawai penyiasat) di talian 03-8886 2068, Pusat Kawalan Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2145 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.