Polis bongkar rumah sewa berpengawal jadi makmal proses heroin, rampas dadah RM1.08 juta

Polis bongkar rumah sewa berpengawal jadi makmal proses heroin, rampas dadah RM1.08 juta

Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai digajikan RM10,000 sebulan untuk membuat dan mengedar dadah sindiket itu.

Dadah dan bahan lain untuk memproses dadah dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Iskandar Puteri pada 23 Mac lepas. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis Johor merampas dadah bernilai RM1.08 juta, hasil pembongkaran sebuah makmal pemprosesan heroin di Iskandar Puteri pada 23 Mac lepas.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi khas di sebuah rumah sewa pada 2 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang merupakan ahli kimia dan “runner” ditahan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dipercayai dibayar gaji RM10,000 sebulan untuk membuat dan mengedar dadah kepada pelanggan di sekitar negeri itu.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini terdiri daripada 57.83kg heroin bernilai RM642,588.88; 4.53kg heroin base bernilai RM420,828.56 dan 77.70kg kafein bernilai RM26,418.

“Selain dadah, pelbagai peralatan memproses dadah turut dirampas. Polis juga menyita lima kenderaan, sebuah motosikal, wang tunai RM16,430, pelbagai barangan kemas, 25 jam tangan dan 15 akaun bank bernilai RM473,283.42,” katanya dalam sidang media.

Ayob Khan berkata, susulan penahanan lelaki berkenaan, polis memberkas dua wanita tempatan berusia 34 dan 35 tahun di Temerloh, Pahang serta Batu Gajah.

“Kedua-dua wanita ini adalah isteri kepada dua lagi lelaki yang masih diburu polis untuk membantu siasatan bersabit Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan masing-masing beralamat terakhir di Taman Bestari dan Taman Perling, Iskandar Puteri.”

Katanya, modus operandi mereka adalah menjadikan kediaman sewa berpagar dan berpengawal sebagai makmal memproses dadah serta dipercayai beroperasi selama setahun.

Dalam kes berasingan, Ayob Khan memaklumkan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan pada 25 Mac lepas, juga di Iskandar Puteri bersama syabu dan ketamin bernilai RM347,874.44.

“Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu rekod ‘wanted’ bagi kes dadah.

“Lelaki yang baru melakukan kegiatan ini kira-kira seminggu, turut menjadikan rumah sewa berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan hasil penahanan lelaki terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.