“Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
“BN telah memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional, Zahid berkata piagam MN “belum sampai ke penghujungnya, namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan.”
Zahid berkata Umno tidak akan mendukung Perikatan Nasional kerana tidak senang dengan gelagat politik PPBM, menuduh parti itu berniat untuk menghapuskan dan menggantikan Umno.
“Kita sedar, malah semua ahli Umno sedar PPBM tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya dan tidak mempunyai sokongan akar umbi,” katanya.
Zahid bagaimanapun berkata Umno sangat terbuka untuk melakukan pelasaran politik (political reset) selepas PRU15, namun terlebih dahulu ia harus mendominasi politik tanah air.
“Kita perlu dominan, baharulah kita relevan,” katanya.
“Biar saya jelaskan, once and for all, untuk Umno menjadi dominan semula selepas PRU15…kita mesti menang kerusi terbanyak.”
Semalam, Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, ketika menggulung perbahasan Puteri Umno mengumumkan parti itu akan bertanding 120 kerusi pada PRU15, mencetuskan spekulasi ia akan menghadapi pilihan raya tanpa PAS.
Awal bulan ini, Tajuddin dilaporkan berkata, Umno akan bertanding 120 kerusi Parlimen jika bersendirian, dan 96 kerusi jika kerjasama dengan PAS diteruskan.