Isu kartel libatkan rasuah, SPRM mesti bertindak, Gobind beritahu Azam Baki

Isu kartel libatkan rasuah, SPRM mesti bertindak, Gobind beritahu Azam Baki

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, dakwaan rasuah oleh Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mesti ditangani SPRM.

Bekas menteri, Gobind Singh Deo membidas Azam Baki kerana tidak mahu bertindak ke atas ‘kartel polis’ dengan bertanya sama ada agensi lain juga harus menangani isu rasuah ‘secara dalaman’.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri mengkritik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki kerana memandang ringan isu “kartel polis” dengan menyifatkannya sebagai masalah dalaman.

Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dengan jelas menyatakan ia melibatkan rasuah.

“Hamid tidak hanya bercakap secara terbuka mengenai kartel, tetapi juga amalan rasuah dalam pasukan polis.

“Adakah itu masalah dalaman yang bagi SPRM dapat diselesaikan secara dalaman? SPRM mesti terlibat kerana wujud dakwaan rasuah,” tambah bekas menteri komunikasi dan multimedia itu.

Azam dilaporkan berkata, agensi anti-rasuah itu tidak berniat menyiasat skandal “kartel” kerana ia adalah masalah dalaman polis yang harus diselesaikan secara dalaman.

Hamid baru-baru ini mendedahkan terdapat gerakan dalaman terdiri daripada pegawai muda dalam pasukan polis yang membentuk kartel untuk menjatuhkannya demi kepentingan peribadi mereka.

Gobind mempersoalkan sama ada pendirian SPRM itu bermaksud semua jabatan swasta atau awam lain harus menjalankan siasatan dalaman terhadap kes rasuah melibatkan kakitangan mereka.

“Mengapa orang lain ditangani secara berbeza, disiasat oleh SPRM dan kemudian didakwa di mahkamah? Bukankah mereka juga harus ditangani secara dalaman?”

Beliau berkata, ia adalah persoalan undang-undang, selain menambah siasatan dalaman tidak mencukupi kerana kes itu melibatkan polis sendiri.

“Mungkin Azam harus mendapat nasihat undang-undang daripada peguam negara. Ini perkara penting untuk masyarakat umum.

“Sekiranya kita benar-benar ingin membersihkan pasukan polis dan memperkuatnya dengan menangani masalah seperti ini, maka kita harus mulakan dengan langkah tepat ke arah yang betul.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.