Polis buru banduan panjat pagar, lari penjara

Polis buru banduan panjat pagar, lari penjara

Lelaki direman untuk kesalahan dadah itu berjaya meloloskan diri dari Penjara Pengkalan Chepa semasa proses pembuangan sampah.

Polis dan Jabatan Penjara sedang menjalankan operasi mengesan suspek, termasuk mengadakan sekatan jalan raya. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis giat memburu seorang banduan lelaki yang melarikan diri dengan memanjat pagar di kawasan menara Penjara Pengkalan Chepa hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abdul Rahim Daud berkata, Mohamad Soolleh Mohd Noor, 31, dari Jalan Madrasah, Kampung Delima, Wakat Baru, Tumpat, dipercayai melarikan diri semasa proses pembuangan sampah kira-kira 10 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek adalah banduan reman bicara bagi kes di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya dan mula ditahan di Penjara Pengkalan Chepa sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, suspek terbabit mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan. Susulan kejadian itu, polis bersama penjara sedang menjalankan operasi mengesan suspek, termasuk mengadakan sekatan jalan raya.”

Beliau memohon bantuan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan suspek dan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.