JKKP nafi pandang ringan SOP projek pembinaan berisiko

JKKP nafi pandang ringan SOP projek pembinaan berisiko

Kebanyakan kes kemalangan di tapak pembinaan dikenal pasti berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP.

Isnin lepas tiga pekerja pembinaan maut apabila komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya SUKE yang turut mencederakan seorang pemandu kereta yang melalui jalan berkenaan dalam kejadian di Persiaran Alam Damai, Cheras. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kemalangan di tapak pembinaan yang kerap dilaporkan kebelakangan ini memberi isyarat serius betapa pentingnya tindakan penguatkuasaan lebih tegas berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung insiden sama berulang.

Kebanyakan kes kemalangan di tapak pembinaan dikenal pasti berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor atau syarikat pembinaan mematuhi SOP yang ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia.

Kekerapan kecelakaan ini mengundang persoalan ramai, adakah pihak berwajib menutup sebelah mata dan memandang enteng, selain tidak tegas dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan di tapak pembinaan?

Ketua Pengarah JKKP Zailee Dollah berkata, hakikatnya, usaha membendung kemalangan di tapak pembinaan menjadi perkara utama yang sentiasa dipantau secara serius termasuk penambahbaikan SOP di tapak binaan.

Ketua Pengarah JKKP Zailee Dollah.

“Bagaimanapun tidak dinafikan adakalanya kecelakaan terjadi jugak dan memerlukan siasatan lebih mendalam tentang punca kejadian, selain arahan supaya penambahbaikan segera dilakukan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Zailee berkata, pemantauan perjalanan projek terutama yang berisiko tinggi sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa termasuk projek pembinaan lebuh raya SUKE sepanjang 31.8 kilometer itu.

Jelas beliau, sebelum memulakan sesuatu projek pembinaan, pemaju perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan, antaranya memaklumkan projek yang ingin dibina, selain perlu akur dengan ketetapan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Secara prinsipnya akta yang ada ini (Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994) diperuntukkan bagi tujuan keselamatan, kesihatan dan kebajikan bukan sahaja terhadap pekerja yang berada di kawasan pembinaan, tetapi turut melindungi orang awam di kawasan berhampiran atau individu yang melalui lokasi pembinaan,” katanya.

Menurut Zailee, penaksiran risiko perlu sentiasa dilakukan kontraktor dan latihan kepada pekerja juga perlu diberikan agar kerja-kerja pembinaan di tapak binaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Ahmad Asri Abdul Hamid menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kontraktor atau mana-mana pihak yang gagal memastikan aspek keselamatan di tapak pembinaan.

Ahmad Asri Abdul Hamid

Sejak pindaan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) dikuat kuasa pada akhir 2016, sembilan kontraktor didakwa ke mahkamah kerana gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, dalam tempoh sama juga 628 kontraktor dikenakan tindakan penggantungan, pembatalan atau penarikan semula pendaftaran, manakala 312 pengarah syarikat disenarai hitam atas pelbagai kesalahan.

‘’Pengalihan aliran trafik bukan sahaja dapat menghilangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya, malah dapat memaksimumkan ruang yang boleh digunakan untuk pembinaan dan mempercepatkan perlaksanaan projek,” katanya.

Akta 520 memperuntukkan penalti maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika berlaku kematian akibat kecuaian dalam pembinaan projek.

Terdahulu media melaporkan, tiga pekerja pembinaan maut apabila komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya SUKE yang turut mencederakan seorang pemandu kereta yang melalui jalan berkenaan dalam kejadian di Persiaran Alam Damai, Cheras, Isnin lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.