
Beliau bercakap tentang ahli parti yang merelakan diri diperlakukan semahunya “bak lembu dicucuk hidung” oleh “tuan yang mendedaknya”, dalam ucapan dasar sidang sayap itu sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020).
“Mereka ini kadangkala terlupa atau buat-buat lupa bahawa tuan dedaknya itu, umpama serigala berbulu kambing, penuh muslihat, licik tingkah olahnya,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Asyraf selaku ketua Pemuda mendesak kepimpinan Umno tidak lagi beri muka kepada golongan itu dan jangan sesekali memberi mereka tempat di barisan depan untuk mewakili parti itu.
Malah, ahli Umno wajar menolak mereka pada pemilihan parti nanti, katanya.
“Jangan sampai seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali,” katanya.
Sementara itu, Asyraf meminta pemimpin dalam kerajaan untuk tidak memainkan sentimen “penyatuan ummah” bagi mempertahankan kelemahan kerajaan sekarang.
Katanya, masih banyak isu tertunggu yang diwariskan kepada kerajaan hari ini daripada pentadbiran lepas yang belum selesai.
Antaranya, desakan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan dalam Tabung Haji dan status pendakwaan bagi kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Beliau juga tertanya bagaimana dengan kes membabitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang digugurkan atau ditarik balik.
“Usahlah berdalih lagi. Jangan menggunakan madah ‘penyatuan ummah’ bagi mempertahankan kelemahan. Jangan berselindung sebalik slogan ‘No Anwar No DAP’ bagi menyembunyikan agenda peribadi mempertahan kedudukan.”
“Di manakah keadilan apabila pemimpin Umno yang kononnya terima peruntukan daripada sumber 1MDB didakwa, sedangkan pengkhianat yang terima peruntukan serupa tidak pula didakwa?” tambahnya.