Habuan pencen, gratuiti lebih tinggi buat penjawat awam dipaksa bersara akibat masalah kesihatan

Habuan pencen, gratuiti lebih tinggi buat penjawat awam dipaksa bersara akibat masalah kesihatan

Kiraan minimum terkini adalah berdasarkan 20 tahun perkhidmatan berbanding sebelumnya yang hanya mengira jumlah tahun sebenar perkhidmatan.

Perkhidmatan awam yang mempunyai 1.6 juta pekerja menggunakan sebahagian besar belanjawan negara.
PETALING JAYA:
Penjawat awam yang terpaksa bersara lebih awal akibat masalah kesihatan kini boleh tersenyum apabila kerajaan menetapkan jumlah perkhidmatan minimum yang jauh lebih tinggi dalam kiraan pencen dan sagu hati (gratuiti) mereka.

Dalam surat pekeliling yang dikeluarkan seminggu lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan pengiraan minimum pencen dan gratuiti yang sebelum ini hanya menghitung jumlah tahun sebenar perkhidmatan.

“Di bawah peraturan sedia ada, pencen dan gratuiti dikira mengikut jumlah tahun sebenar seorang pegawai berkhidmat tetapi dengan minimum satu per lima pencen berdasarkan gaji pokok terakhirnya dan tidak melebihi tiga perlima,” kata Ketua Pengarah JPA Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata syarat baharu, yang akan memberi kesan besar kepada pencen dan gratuiti, akan dikira bermula 1 Jan 2018.

Menurut carta dalam pekeliling tersebut, mereka yang bersara akibat masalah perubatan dengan jumlah perkhidmatan kurang dari 120 bulan akan mendapat pencen dan gratuiti yang dikira berdasarkan perkhidmatan minimum 240 bulan.

Bagi mereka yang telah berkhidmat antara 120 dan 240 bulan, bayaran akan merangkumi perkhidmatan tambahan 120 bulan.

Selain itu, bagi mereka yang berkhidmat antara 241 hingga 360 bulan sebelum diminta bersara atas alasan kesihatan, kedua-dua formula tersebut adalah berdasarkan maksimum 360 bulan.

Seorang pegawai kanan kerajaan berkata, ia akan memberi manfaat terutama kepada mereka yang tiada pilihan selain berhenti akibat penyakit kritikal yang menghalang mereka bekerja.

“Sebagai contoh, jika seorang pekerja dengan gaji pokok RM5,000 diberhentikan setelah lima tahun, pencennya akan dikira berdasarkan 20 tahun. Maknanya dia kini akan menerima RM2,000 sebulan.

“Di bawah skim lama, dia hanya layak menerima pencen bulanan RM400,” katanya.

Khairul berkata mereka yang sebelum ini bersara akibat masalah perubatan tetapi kembali berkhidmat tidak layak menerima faedah ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.