Dari jejantas ke platform dalam talian, pelajar bantu pengusaha manik di Sabah

Dari jejantas ke platform dalam talian, pelajar bantu pengusaha manik di Sabah

Sekumpulan pelajar Sabah di Universiti Utara Malaysia membantu mempromosikan hasil seni pengusaha manik di media sosial dan platform dalam talian lain.

Perniagaan pengusaha manik di jejantas Segama menjunam sehingga 80% akibat pandemik Covid-19.
KOTA KINABALU:
Pengusaha aksesori kraftangan berasaskan manik yang selama ini bergantung kepada pelancong, kehilangan punca pendapatan sehingga 80% akibat penularan Covid-19.

Dahulu, pengusaha manik biasanya memperagakan hasil ciptaan mereka di jejantas Segama, di sini.

Kini, mereka mengharapkan masyarakat tempatan dan penganjuran Pesta Kaamatan pada Mei ini untuk menjual hasil kraftangan mereka.

Nasib pengusaha manik itu mendapat perhatian sekumpulan pelajar pengajian jarak jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Sabah yang cuba membantu mempromosikan hasil seni mereka menerusi media sosial dan platform dalam talian.

Ketua kumpulan itu, Agustavia Joe Guasi berkata, kumpulannya mengambil langkah awal dengan mempromosikan aksesori manik itu menerusi Facebook.

Katanya, ia menjadi akses eksklusif kepada penggemar kraftangan untuk mendapat tawaran secara terus antara pengusaha dan pelanggan.

Antara aksesori kraftangan berasaskan manik yang dihasilkan pengusaha.

“Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta ketiadaan pelancong dari dalam dan luar negara menyebabkan penurunan hampir 80% hasil jualan (kraftangan berasaskan manik).

“Selain itu, perniagaan mereka juga terpaksa ditutup ekoran beberapa acara dan perayaan yang kebiasaannya menjadi medan untuk mempromosikan produk tidak boleh dianjurkan.

“Inilah antara cabaran peniaga kecil-kecilan di kawasan ini (jejantas Segama) dan sebab itu tercetuslah idea untuk membantu golongan ini agar perniagaan mereka mampu diteruskan dan berkembang, sejajar norma baharu dan era digital sekarang,” katanya kepada FMT.

Agustavia Joe Guasi (kiri) berbincang dengan salah seorang pengusaha manik di jejantas Segama, Kota Kinabalu.

Agustavia berkata, pihaknya turut membantu pengusaha mempelajari teknik jualan dalam talian.

“Pada masa sama, kita membantu menghasilkan poster yang mampu menarik minat orang ramai untuk mengenali produk serta pemborong tetap untuk melancarkan aktiviti perniagaan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.