
Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid membebaskan Md Amadul Haq, Allaudin Pradhan, Md Naim Islam dan Musharof tanpa perlu dipanggil membela diri.
“Pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie,” katanya.
Keempat-empat lelaki itu dituduh menyeludup rakan senegara ke negara ini. Pihak pendakwaan berkata kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah apartmen di Bukit Bintang pada 19 April 2019.
Mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Peguam T Harpal Singh berpandangan bahawa kesalahan itu hanya boleh dilakukan di sempadan antarabangsa dan bukan di dalam apartmen.
Mereka ditahan sementara menunggu keputusan perbicaraan kerana jenayah tersebut diklasifikasikan sebagai kesalahan keselamatan mengikut jadual kedua Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Hakim turut menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Wan Ahmad Hijrah yang mahu keempat-empat tertuduh ditahan di penjara bawah SOSMA sehingga keputusan rayuan kes.
Harpal berkata, tertuduh sebelum ini ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Imigresen.
“Jabatan Imigresen bergantung pada Kanun Prosedur Jenayah untuk menyerahkan keempat-empat tertuduh untuk disiasat selama 14 hari,” katanya.
Katanya, hanya polis yang dibenarkan menggunakan SOSMA untuk menangkap dan menahan suspek atas kesalahan keselamatan.
Hakim turut memerintahkan Jabatan Imigresen mengeluarkan pas khas untuk Amadul, Allaudin dan Musharof bawah Peraturan Imigresen kerana permit kerja mereka tamat ketika berada dalam tahanan.
Naim akan dihantar pulang kerana dia tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.