
Beliau berkata, meminjam wang dengan “along” merupakan satu kesalahan tatatertib kerana anggota dan pegawai polis perlu mendapatkan kebenaran ketua jabatan terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang pinjaman.
“Andai kata dia (anggota polis) pinjam duit along dan mungkin tidak dapat membayar semula pinjaman, kemudian rumah kena simbah cat, dia buat laporan polis kita akan siasat kes ‘along’ itu dan satu lagi siasatan dalaman jabatan kenapa pinjam duit tanpa kebenaran ketua jabatan.
“Walaupun ‘along’ itu berlesen, tetapi pinjaman yang dibuat tidak menggunakan saluran yang betul,” katanya kepada pemberita selepas perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Hasanuddin bagaimanapun berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan isu pinjaman “along” melibatkan anggota dan pegawai polis Kedah, namun beliau memberi amaran supaya tiada mana-mana warga IPK Kedah terjerat dengan kegiatan pemberi pinjaman wang itu.