Perpaduan ummah bukan untuk selamatkan parti, pemimpin politik, kata Hadi

Perpaduan ummah bukan untuk selamatkan parti, pemimpin politik, kata Hadi

Presiden PAS itu berkata perpaduan ummah harus untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

Presiden PAS Abul Hadi Awang berkata, PAS sendiri mengatur langkah menegakkan perpaduan umat Islam dan bukan Islam dalam Perikatan Nasional, dengan menolak fahaman fanatik, ekstrem, liberal yang tidak kuat pegangan agama dan bersikap oportunis.
PETALING JAYA:
Perjuangan ke arah perpaduan Islam tidak harus menjurus kepada menyelamatkan parti atau beberapa pemimpinnya, kata Presiden PAS Abul Hadi Awang.

“Perpaduan ummah bukan untuk menyelamatkan parti atau beberapa orang pemimpin, tetapi bersama-sama menyelamatkan negara dan semua rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Hadi berkata, PAS sendiri mengatur langkah menegakkan perpaduan umat Islam dan bukan Islam dalam Perikatan Nasional (PN), dengan menolak fahaman fanatik, ekstrem, liberal yang tidak kuat pegangan agama dan bersikap oportunis.

Beliau berkata, gabungan PN yang disertai PAS, bermatlamat melaksanakan agenda perpaduan ummah yang majmuk sebagai tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, berkonsepkan Islam memimpin tanpa menghapuskan kewujudan pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, PAS tetap konsisten memilih demokrasi pilihan raya sebagai pendekatan paling damai walaupun pernah mengalami pengalaman kalah, menang, rebah dan bangun berulang kali sejak ditubuhkan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“PAS menolak pendekatan ekstrem di jalan raya dan masuk hutan, sehingga gagal diprovokasikan oleh sesiapa sahaja bagi memangsakan rakyat untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.