
Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan, R Sri Sanjeevan berkata, tindakan Ahli Parlimen Segamat itu ibarat “seekor lembu membawa lumpur, habis semua terpalit”.
“Sebelum nasi menjadi bubur, saya menggesa Santhara meletak jawatan secara terhormat dan harap perdana menteri gantikannya dengan individu lain yang mampu menjalankan amanah diberikan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Santhara dilaporkan sudah pulang ke tanah air minggu lalu selepas percutian penuh kontroversi di New Zealand dan sedang dikuarantin di rumah.
Pada 1 Mac lalu, ketika menjawab soalan berhubung “kehilangannya” dalam negara, Santhara melalui media sosial menjelaskan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membenarkannya bercuti 55 hari untuk berada di New Zealand bersama keluarganya, antara lain disebabkan isterinya sakit.
Santhara menafikan dakwaan beliau meninggalkan negara ketika perintah kawalan pergerakan, sebaliknya beliau berlepas ke Auckland pada 23 Dis dan dikuarantin sehingga 9 Jan lalu.
Sanjeevan yang juga pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) berkata, tidak dinafikan tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya bercuti, namun percutian untuk tempoh lama dan ke luar negara ketika penularan Covid-19 tidak boleh diterima, melainkan demi tugasan rasmi.
“Sebagai seorang timbalan menteri, sudah pasti banyak tugasan bertimbun atas meja yang memerlukan beliau berada di Malaysia. Isu pembangunan Kampung Baru misalnya, sudah pasti memerlukan penelitian untuk diselesaikan, tetapi tergamak beliau meninggalkan tugas hakiki semata-mata ingin bercuti melawat keluarga.
“Persoalan yang ingin ditanya, bagaimana pula dengan rakyat yang sudah lama tidak menziarahi ibu bapa akibat sekatan rentas negeri yang dilaksanakan? Ramai yang tidak dapat hadiri (upacara pengebumian) rakan dan saudara mara kerana sekatan rentas negeri akibat pandemik.”