
Kerajaan terdahulu pimpinan Pakatan Harapan menaikkan pangkat pegawai-pegawai kontrak ini daripada gred UD41 pada November 2019, tetapi hanya dikuatkuasakan baru-baru ini. Bagaimanapun, mereka tidak menerima kenaikan gaji.
Kata Lee kepada FMT, gaji pegawai perubatan itu perlu dikira bermula November 2019 sebaik keputusan Kabinet dibuat, beserta kenaikan tahunan.
“Masalah pegawai perubatan kontrak ini bermula sejak beberapa tahun lalu apabila tidak cukup jawatan tetap bagi pegawai perubatan selepas tempoh latihan mereka.
“Satu keputusan dibuat pada era Barisan Nasional untuk mencipta jawatan kontrak apabila jawatan tetap (UD44) penuh. Pegawai kontrak ini dikategorikan sebagai UD41 walaupun menggalas tanggungjawab yang sama seperti pegawai berjawatan tetap,” kata beliau.
FMT melaporkan sebelum ini sebilangan besar daripada 22,000 pegawai perubatan kontrak yang dinaik taraf kepada gred UD43 sepanjang minggu lalu tidak akan menerima kenaikan gaji kerana gaji semasa mereka lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam skala gaji baharu.
Menurut beberapa doktor, gaji pokok mereka sekarang adalah RM3,622 manakala gaji permulaan bagi gred UD43 adalah RM3,611.
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, sekiranya mereka tidak diberi satu atau dua kenaikan dalam skala gaji baharu, kenaikan pangkat mereka tidak bermakna.
Lee berkata satu lagi masalah yang belum dapat ditangani adalah berhubung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pengajian lepasan ijazah yang hanya ditawarkan kepada pegawai perubatan yang memegang jawatan tetap.
Ini bermaksud pegawai kontrak tidak layak mendapat biasiswa, yang menurut Lee, akan memberi kesan serius kepada bekalan pakar perubatan pada masa akan datang.
“Program sarjana di universiti awam tempatan juga akan gagal kerana kekurangan calon,” kata Ahli Parlimen Gopeng itu.
Beliau berkata, penyelesaian terbaik bagi kedua-dua masalah tersebut adalah dengan mewujudkan jawatan tetap yang mencukupi bagi pegawai perubatan untuk memenuhi syarat perkhidmatan di Kementerian Kesihatan.