
Barisan tiga hakim dipengerusikan Nallini Pathmanathan juga mengisytiharkan upah minimum mesti daripada majikan dan bukan dana caj perkhidmatan itu.
Nallini ketika membuang rayuan Crystal Crown Hotel and Resort Sdn Bhd menjelaskan upah minimum ditakrifkan sebagai gaji pokok dan oleh itu tidak boleh termasuk caj perkhidmatan.
Pertikaian antara hotel dan Kesatuan Pekerja Hotel, Bar, dan Restoran Semenanjung Malaysia itu tercetus apabila pihak hotel berkeras mahu menggunakan caj perkhidmatan untuk membayar upah minimum wajib.
Kedua-dua pihak sedang merundingkan perjanjian kolektif bagi Oktober 2011 dan September 2014 dan antara perkara yang dipertikaikan adalah memasukkan caj perkhidmatan dalam upah minimum kakitangan.
Keputusan Mahkamah Perindustrian, Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan tidak berpihak kepada hotel dan pihak kesatuan tidak membantah kes dibawa ke Mahkamah Persekutuan memandangkan isu itu berkepentingan awam.
Barisan hakim hari ini berpandangan pemilik hotel tidak berhak menggunakan caj perkhidmatan sama ada semuanya mahupun sebahagiannya untuk membayar upah minimum yang diwajibkan undang-undang.
Bersama hakim Mary Lim Thiam Suan dan Abdul Rahman Sebi, mereka berpandangan majikan juga tidak boleh menggunakan caj perkhidmatan untuk menampung upah minimum.
Caj perkhidmatan dikenakan oleh perniagaan atas kos barangan atau perkhidmatan dalam satu bil. Lazimnya ia dikenakan dalam industri ketamuan dan kadar yang biasa dikenakan adalah 10%.
Caj ini dikutip oleh kakitangan yang mengenakan caj itu dan dikumpulkan dalam suatu dana untuk dibayar kepada pekerja dalam industri itu.
Nallini berkata, pihak hotel tidak boleh mengadu kosnya bertambah dan kemudian berkeras faedah kontraktual dalam bentuk caj perkhidmatan boleh diperuntukkan dan digunakan untuk membantunya, dalam memenuhi kewajipan pembayaran berkanun wajib itu.
Beliau berkata caj perkhidmatan, iaitu wang yang dikutip daripada pihak ketiga, bukan milik hotel sebaliknya diamanahkan.
Nallini berkata, barisan hakim sedar akan kesan pandemik Covid-19 ke atas industri hotel namun rayuan itu berkenaan upah pada 2012.
“Kami menjawab suatu persoalan undang-undang berkenaan tafsiran perundangan upah minimum maka jawapan kami mestilah menurut prinsip undang-undang yang tidak dipertikaikan lagi,” katanya.
Sementara itu, setiausaha agung kesatuan Rosli Affandi berkata keputusan hari ini akan memberi manfaat kepada 110,000 pekerja walaupun bukan semuanya ahli kesatuan.
Peguam N Sivabalah mewakili Crystal Crown manakala Ambiga Sreenevasan, Shireen Selvaratnam, dan Lim Wei Jit mewakili kesatuan.