
Hasnul berkata, beliau menerima cukup banyak panggilan telefon hari ini bertanyakan hal pemecatannya dan bertanyakan sama ada benar mahu sertai PKR.
“Saya ingin jelaskan, saya sendiri pun tidak menerima makluman rasmi dari parti mengatakan saya dipecat.
“Saya cuma ada dengar Hamzah Zanudin (Setiausaha Agung PPBM) keluarkan kenyataan saya dipecat baru-baru ini.
“Tanpa pemberitahuan rasmi saya tidak pasti sama ada saya masih PPBM atau pun Bebas,” katanya kepada FMT.
Mengenai khabar angin yang mendakwa beliau kini sedang memohon untuk menyertai PKR, Hasnul berkata dakwaan itu timbul apabila gambarnya bertemu pemimpin dan ahli PKR tular di media.
Katanya, selepas konflik membabitkan dirinya yang memberikan sokongan dengan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong pimpinan Saarani Mohamad dari Umno sebagai menteri besar Disember lalu, beliau berjumpa ramai rakan-rakan dari pelbagai parti politik.
“Saya jumpa rakan dari Umno, dari Amanah, PKR tapi masih belum ada hasrat untuk saya sertai mana-mana parti lagi.
“Mengenai kedudukan saya sama ada dipecat atau sebaliknya, saya akan menulis surat rasmi kepada PPBM meminta mereka menjelaskan status saya,” katanya.
Setiausaha PPBM Perak, Zainol Fadzi Paharuddin dalam jawapan ringkas kepada FMT memberitahu, keahlian Hasnul memang sudah tergugur secara automatik selepas dia memberikan sokongan kepada Saarani dan melanggar arahan parti.
Katanya, Hasnul hilang sendiri keahlian pada Disember lalu sebagaimana dijelaskan Hamzah dalam laporan media dan tidak ada keperluan untuk parti mengeluarkan pemberitahuan.
Hasnul menyertai PPBM pada 3 Jun lalu. Sebelum itu, beliau adalah wakil rakyat bebas selepas meninggalkan Amanah pada 9 Mac susulan penjajaran politik di Perak yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH).