
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, tiga pekerja projek pembinaan tersebut yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.
“Mayat Ding dan Jiang berjaya dikeluarkan pihak bomba pada 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. Kerja mengeluarkan mayat Mu yang terhimpit di antara struktur besi masih dijalankan,” kata beliau kepada pemberita semalam.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira 8.45 pagi dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke tempat kejadian.
Nordin berkata Ding dan Jiang maut selepas terjatuh dari ketinggian 36.6m ketika menyelenggara landasan berkenaan.
“Mangsa ketiga yang maut (Mu) terjatuh dan tersangkut di atas landasan lebuh raya sebelum tersepit di antara landasan pembinaan lebuh raya berkenaan,” kata beliau.
Nordin berkata, kerja-kerja mengeluarkan mangsa ketiga yang masih berjalan sehingga kini menghadapi kesukaran disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri.
Sementara itu, seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Low Zy Jing, 33, yang memandu Perodua Bezza dilaporkan cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan tersebut yang terletak berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Cheras Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kejadian tersebut.
”Polis telah menutup sementara laluan dan membuat lencongan di Jalan Cerdas di sini bagi mengelak kenderaan awam melalui tempat kejadian,” kata beliau.
Dalam pada itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) yang merupakan pemegang konsensi lebuh raya berkenaan memaklumkan kejadian difahamkan berlaku apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Susulan kejadian tersebut, pasukan respons kecemasan SUKE bersama anggota bomba telah menutup laluan trafik di kedua-dua hala dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 33, ketika ditemui berkata, beliau dan rakannya yang bekerja di kilang kira-kira 100m dari tempat kejadian bergegas keluar selepas terdengar bunyi dentuman kuat.
“Apabila sampai (di tempat kejadian), pihak bomba dan polis telah berkumpul di tempat itu,” katanya.
“Apa yang jatuh kami tidak tahu kerana saya tidak nampak secara jelas namun apa yang pasti satu dentuman kuat didengari di lokasi berhampiran dengan kilang tempat saya bekerja.”
Wong berkata, mereka tidak dibenarkan menghampiri tempat kejadian selepas pihak polis membuat halangan di kawasan itu.