
Pengerusi JKOAK, Mustafa Along berkata empangan hidroelektrik itu tidak relevan dari segi penjanaan elektrik untuk jangka panjang.
Kataya, ia tidak mampu membekalkan elektrik secara konsisten kerana banyak aktiviti pembalakan dilakukan untuk ladang monokultur dan lombong.
“Kami memohon kerajaan persekutuan dan Tenaga Nasional Berhad segera membatalkan pembinaan empangan hidroelektrik Neggiri kerana ia bukan penyelesaian jangka panjang yang mampan bagi mengurangkan masalah banjir, kemarau dan membekalkan elektrik.”
Katanya, pembinaan empangan itu akan menyebabkan sebahagian besar hutan, tanah adat dan wilayah mereka tenggelam serta musnah.
“Di situlah tempat kami mendapatkan bekalan air bersih untuk memasak, mandi, membasuh dan bercucuk tanam. Kami mendapatkan makanan melalui aktiviti memburu dan menuai ulam serta tumbahan hutan, sumber ubat-ubatan, bahan pembinaan rumah, bahan untuk upacara adat, budaya dan agama, kawasan kubur nenek moyang,” katanya dalam kenyataan.
Mustafa berkata, proses rundingan antara konsultan, UKM Pakarunding dan penduduk kampung tidak dijalankan dengan jujur, telus, adil dan menyeluruh kerana ia tidak sejajar prinsip keizinan berasaskan makluman awal, bebas dan telus.
Katanya, kebanyakan komuniti terjejas dengan pembinaan itu tidak diberikan layanan adil, walaupun pelbagai janji diberikan sebelum pembinaan empangan itu diteruskan.
Beliau berkata, hak masyarakat Orang Asli untuk mengekalkan adat budaya, tanah dan hutan seperti termaktub di bawah Akta Orang Asli 1954 dan Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli yang ditandatangani Malaysia pada 2007 perlu dihormati.
“Kami ingin menyeru dan memohon sokongan serta kerjasama semua pihak, iaitu masyarakat awam, NGO, ahli akademik, konsultan, penjawat awam dan lain-lain bersama membantu kami menggerakkan kempen nasional bagi membatalkan cadangan pembinaan empangan Nenggiri.”
Kerja awal untuk empangan itu dijadualkan bermula bulan ini, termasuk penempatan semula masyarakat Orang Asli, sekolah dan kemudahan asas lain.