
Beliau berkata, kerjasama rapat Hajiji bersama rakan dalam Kabinetnya, penjawat awam negeri serta persekutuan meletakkan Sabah di landasan tepat ke arah menjadi negeri maju dan berjaya.
“Pagi tadi saya mendengar taklimat setiausaha kerajaan negeri dan penjelasan Hajiji mengenai perkara membabitkan kerjasama dengan persekutuan, khususnya projek pembangunan negeri yang sudah dan akan dilaksanakan, di samping projek baharu.
“Kita juga membincangkan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang saya setuju ia satu projek yang boleh membawa perubahan kepada Sabah, terutama dari segi infrastruktur dan sosio ekonomi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pembangunan Lok Kawi Resort City dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Inisiatif Pelaburan Asing dan Domestik.
Muhyiddin berkata, kerajaan pusat akan terus komited menyiapkan projek lain, terutamanya projek bekalan air, jalan raya dan elektrik di kawasan luar bandar negeri itu, sejajar keutamaan yang diberikan terdahulu.
Katanya, kerajaan persekutuan turut memberi perhatian untuk membantu meningkatkan keperluan pembangunan di Sabah, termasuk pembinaan pelabuhan Teluk Sepanggar, projek perumahan, empangan dan projek lain membabitkan peruntukan besar.
“Perkara ini akan diteliti agensi utama di Kuala Lumpur. Apa yang penting, kerjasama di antara persekutuan dan negeri terus terjalin kukuh. Saya beri komitmen kita jalinkan hubungan yang rapat dan bincang bersama.
“Saya sentuh juga mengenai masalah Covid-19 dan kesannya terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat, ramai golongan rentan yang jatuh miskin. Kerajaan pusat dan negeri akan bekerjasama membantu mereka yang terjejas ini.”