Kes Covid-19 tinggi akibat rentas negeri, bukan aktiviti pelancongan, kata persatuan

Kes Covid-19 tinggi akibat rentas negeri, bukan aktiviti pelancongan, kata persatuan

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berharap kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri secara bersasar dan terkawal bagi menghidupkan kembali aktiviti pelancongan.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata industri pelancongan perhotelan sudah mematuhi semua SOP ditetapkan oleh kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
PETALING JAYA:
Kes tinggi Covid-19 disebabkan kegiatan merentas negeri bukan berpunca daripada aktiviti pelancongan.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata, industri pelancongan terutama perhotelan sudah mematuhi semua SOP ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jelas kelihatan penularan kes Covid-19 yang tinggi melibatkan aktiviti rentas negeri tidak berpunca daripada pergerakan pelancongan domestik, dan keadaan sama juga terkawal semasa perintah kawalan pergerakkan pemulihan (PKPP) dilaksanakan pada Jun hingga September 2020.

“MAH sudah mematuhi semua SOP dan telah memperkenalkan persijilan kebersihan dan kesihatan ‘Clean & Safe Malaysia’ untuk sektor penginapan, satu-satunya yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC),” katanya dalam kenyataan.

Katanya, peningkatan kes akibat rentas negeri tinggi antaranya berpunca daripada kluster Tembok Mempaga di Pahang dengan 808 kes, kluster Pasai di Sarawak dengan 2,693 kes dan kluster Tembok Bukit Besi di Terengganu dengan 443 kes.

“Kluster Tembok Mempaga melibatkan pemindahan seorang tahanan baharu ke Penjara Bentong, kluster Pasai melibatkan individu tidak mengikuti arahan kuarantin di Rumah Panjang Langi, manakala kluster Tembok Bukit Besi pula melibatkan Pusat Koreksional Dungun. Ketiga-tiga kluster ini sahaja adalah sebanyak 3,944 kes,” katanya.

Sehubungan itu, MAH berharap kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri secara bersasar dan terkawal bagi menhidupkan kembali aktiviti pelancongan.

“MAH juga telah mengemukakan cadangan SOP tambahan kepada MOTAC dengan mekanisme pergerakan diselaraskan antara masa daftar masuk hotel dengan aplikasi MySejahtera sama ada melalui kenderaan persendirian atau penerbangan. Penginapan hotel telah terbukti selamat selama ini dan boleh dijadikan keperluan wajib untuk pergerakan rentas negeri.

“Tambahan, kerajaan juga boleh memberi kebenaran rentas negeri kepada individu yang menghadiri aktiviti MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen atau pameran) dengan pendaftaran awal dan tempahan bilik hotel. Saringan Covid-19 juga boleh dijadikan keperluan untuk mendapatkan kebenaran rentas negeri,” katanya.

Katanya, kebenaran rentas negeri itu bagi memastikan industri pelancongan kembali pulih sejak penularan Covid-19 yang turut memberi kesan kepada 3.6 juta pekerja.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan KKM mengesan sebanyak 3,170 kes Covid-19 akibat kegiatan merentas negeri atau dikenali sebagai Import B, sejak 1 Januari lalu.

Kedah mencatat angka tertinggi dengan 714 kes, diikuti Perak (582 kes) dan Negeri Sembilan (370).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.