Seorang pengguna jalan raya juga cedera dalam kejadian itu, kata pemaju Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd dalam kenyataan.
“Kejadian difahamkan berlaku apabila salah satu dari komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Laluan trafik di tempat kejadian bagi kedua-dua hala telah ditutup pasukan respons kecemasan SUKE dan bomba, dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi dan mengarahkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Tun Razak serta Hang Tuah ke loaksi kejadian.
Dalam kenyataan, JBPM berkata seorang pemandu kenderaan mengalami kecederaan parah kerana dihempap kren yang runtuh itu.
“Manakala, tiga lagi mangsa yang merupakan pekerja projek pembinaan tersebut, termasuk dua individu yang jatuh dari ketinggian 120 kaki disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya dan kerja-kerja penyelamatan mangsa sedang dijalankan oleh anggota bomba,” katanya.